SAO FILIPE: Sekurang-kurangnya 25 orang dengan sebahagian besarnya merupakan pelajar sekolah terkorban selepas sebuah bas sekolah terjunam ke dalam gaung di Cape Verde.
Kemalangan berlaku pada lewat malam Sabtu di sepanjang laluan Campanas de Cima, iaitu laluan berliku dan bergunung-ganang yang menghubungkan kawasan berkenaan dengan Sao Filipe.
Bas tersebut dalam perjalanan pulang ke Sao Filipe selepas membawa kumpulan pelajar itu menjayakan lawatan ke Cha das Caldeiras.
Ia merupakan sebuah kampung yang terletak di dalam kawah gunung berapi Pico do Fogo.
Pihak berkuasa memaklumkan terdapat 32 orang di dalam kenderaan itu apabila ia secara tiba-tiba terbabas dari laluan jalan raya sebelum menjunam ke dalam sebuah lembah berbatu.
Pasukan penyelamat menghabiskan masa beberapa jam di lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan berkenaan.
Bentuk muka bumi yang curam dan sukar diakses menjejaskan operasi menyelamat dengan petugas kecemasan terpaksa menuruni cerun gaung untuk mengeluarkan mangsa.
Sebahagian penumpang terselamat dalam kemalangan tersebut.
Namun, mereka turut mengalami kecederaan dan dihantar dengan empat daripadanya berada dalam keadaan kritikal.
Staf-staf perubatan dikerahkan bertugas bagi merawat mangsa yang cedera dengan bantuan daripada seorang doktor swasta. – AGENSI










