Bukan gelaran yang dia dambakan, anugerah ini sebagi bukti baktinya kepada seni - Namron - Utusan Malaysia

Bukan gelaran yang dia dambakan, anugerah ini sebagi bukti baktinya kepada seni – Namron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Namron, mendedahkan gelaran Datuk yang diterima pelakon legenda, Eman Manan, bukanlah penghormatan yang pernah didambakan aktor itu tetapi pengiktirafan itu sesuatu yang wajar atas segala bakti dan sumbangannya dalam dunia seni selama empat dekad lebih itu.

Namron atau Shahili Abdan, 57, berkata, dia percaya pengurniaan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) itu membuktikan jasa Eman kepada industri dan negara akhirnya diberikan penghargaan sewajarnya.

“Saya tahu bukan gelaran yang dia dambakan tapi anugerah ni adalah sebagai bukti baktinya kepada seni dan negara dihargai.

“Anugerah yang tidak salah pada tempatnya. Tahniah kekanda ku Dato Eman Manan,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.

Menjenguk di ruangan komen, perkongsian itu menerima pelbagai reaksi positif daripada orang ramai, yang turut mengucapkan tahniah kepada Eman serta menyifatkan beliau sememangnya layak menerima pengiktirafan berkenaan selepas sekian lama mencipta pelbagai kejayaan dalam bidang lakonan.

Terdahulu, Eman Manan menerima Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) bersempena Ulang Tahun Ke-64 Hari Keputeraan Sultan Terengganu pada Ahad.

Sepanjang 42 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, Eman pernah meraih beberapa anugerah besar antaranya Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) sebanyak tiga kali, termasuk menerusi filem pertamanya, Matinya Seorang Patriot (1984), Bintang Malam (1991), dan Buai Laju-Laju (2004).

Istiadat penganugerahan tersebut diadakan di Istana Syarqiyyah, Bukit Chendering, Kuala Terengganu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×