PETALING JAYA: Pelakon, Ammar Alfian, mendedahkan dia membatalkan hasratnya untuk bersara dari dunia lakonan selepas menerima nasihat dan sokongan daripada beberapa individu terdekat yang menyifatkan dia patut meneruskan kerjaya seninya.
Ammar atau Ammar Alfian Aziz Mohd Zakri, 39, berkata, dia sebelum ini pernah menetapkan usia 40 tahun sebagai penamat perjalanan kariernya sebelum memulakan kehidupan baharu dalam bidang lain.
Katanya, keputusan itu bagaimanapun berubah selepas mendapat galakan daripada individu yang rapat dengannya.
“Masa itu memang saya fikir nak bersara. Saya fikir, kalau saya sampai usia 40 tahun, itu sahaja.
“Lepas itu, atas nasihat, dorongan dan sokongan beberapa orang yang rapat dengan saya, mereka rasa saya memang patut teruskan. Saya pun rasa masih ada lagi yang boleh saya lakukan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran treler, poster dan runut bunyi filem Orang Perang di sini, pada Jumaat.
Tambah Ammar, dia kini memilih untuk bergerak sebagai muka depan dan dalam masa yang sama bekerja di belakang tabir tanpa perlu meninggalkan bidang lakonan sepenuhnya.
“Kalau dah penat di depan tabir, kenapa tak pergi ke belakang tabir pula? Saya fikir, kenapa saya tak boleh buat kedua-duanya sekali.
“Memang dari dulu saya nak belajar bidang seperti penyuntingan dan penulisan skrip. Sekarang saya sedang buat perkara itu,” ujarnya.
Kata pelakon filem Paskal itu, dia kini semakin seronok mendalami kerja penyuntingan video, termasuk menghasilkan sendiri suntingan beberapa kandungannya di media sosialnya.
“Video-video yang orang tengok itu saya yang sunting sendiri, termasuk sari kata. Saya cuma nak cuba dan tengok macam mana hasilnya.
“Ada beberapa projek yang saya sedang cuba terokai bersama produksi lain. Untuk syarikat sendiri pula, buat masa ini lebih kepada acara (event) belum lagi fokus kepada produksi,” katanya.
Bagi Ammar, pembelajaran di belakang tabir perlu bermula dari peringkat paling asas kerana dia mahu memahami setiap proses sebelum melangkah lebih jauh.
“Kalau nak masuk ke belakang tabir, bukan terus jadi penerbit. Saya kena bermula dari bawah dan belajar macam mana kerja kamera serta semua proses itu.
“Saya tak merajuk. Kalau suatu hari nanti saya tak berlakon sekalipun, saya tetap akan berada di belakang tabir,” katanya.
Untuk rekod, filem Orang Perang mengangkat perjuangan masyarakat Orang Asli yang mempertahankan tanah air menerusi naskhah berlatarkan aksi epik.
Filem ini dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat seperti Niezam Zaidi, Ammar Alfian, Syazwan Zulkifly, Josiah Hogan, Adam Corrie dan Fauzi Nawawi, selain bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 1 Oktober depan.










