GEORGE TOWN : Tiada kejadian membabitkan penumpang warga Indonesia terkandas secara beramai-ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) susulan pembatalan beberapa penerbangan dari Jakarta ekoran kejadian letusan Gunung Anak Krakatau, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, hal ini demikian kerana, syarikat-syarikat penerbangan yang terlibat termasuk AirAsia, TransNusa dan Batik Air dilaporkan telah memaklumkan kepada penumpang mereka lebih awal mengenai perkara tersebut.
“Berdasarkan maklumat terkini yang diperoleh daripada pengurusan lapangan terbang, penumpang-penumpang yang terjejas telah dimaklumkan lebih awal oleh syarikat penerbangan menerusi e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) serta saluran komunikasi yang lain.
“Oleh itu, tidak ada kejadian penumpang khususnya warga Indonesia terkandas secara beramai-ramai di sini (LTAPP),” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama Pengurus Kanan LTAPP yang baharu, Ahmad Fikri, hari ini.
Mengulas lanjut, Hon Wai berkata, keadaan jerebu yang agak teruk di Pulau Pinang dan seluruh negara sejak beberapa minggu lalu juga tidak menjejaskan operasi penerbangan di LTAPP setakat ini.
“Pelepasan dan pendaratan pesawat serta keseluruhan operasi harian masih berjalan seperti biasa. Bagaimanapun, kerajaan negeri akan terus memantau keadaan semasa serta berkomunikasi dengan pihak lapangan terbang dan syarikat penerbangan bagi memastikan segala-galanya berjalan lancar,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu, dua laluan penerbangan terus antarabangsa ke Pulau Pinang iaitu dari Haikou, Hainan dan Batam dijadual memulakan operasi mereka pada suku keempat tahun ini.
Katanya, pembukaan laluan tersebut bukan sahaja akan mewujudkan hubungan udara baharu antara Pulau Pinang dengan kedua-dua wilayah di China dan Indonesia, malah, akan mengukuhkan hubungan udara yang sedia terjalin sebelum ini.
“Untuk pengetahuan, usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh rangkaian penerbangan antarabangsa telah menunjukkan perkembangan yang positif apabila jumlah pergerakan penumpang antarabangsa di LTAPP menunjukkan peningkatan bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
“Sebanyak 2,646,500 pergerakan penumpang antarabangsa telah direkodkan di LTAPP antara Januari hingga Julai tahun ini berbanding hanya 2,381,520 pergerakan penumpang bagi tempoh yang sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 264,980 atau kira-kira 11.13 peratus,” katanya.-UTUSAN










