JAKARTA: Indonesia membuka semula lapangan terbang utama Jakarta dan empat lapangan terbang lain yang sebelum ini ditutup berikutan abu gunung berapi daripada siri letusan Gunung Anak Krakatau.
Menteri Pengangkutan Dudy Purwagandhi dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, abu daripada Gunung Berapi Anak Krakatau yang terletak di antara pulau Jawa dan Sumatera, menyelubungi Jakarta serta beberapa kawasan sekitarnya sejak letusan pertama pada lewat Jumaat.
Keadaan itu menyebabkan lapan lapangan terbang ditutup atas faktor keselamatan, sekali gus menjejaskan lebih 340,000 penumpang.
Menurut Dudy, Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, lapangan terbang utama Jakarta, menyambung semula operasi pada Selasa selepas tiupan angin membawa abu gunung berapi menjauhi kawasan sekitar lapangan terbang.
Empat lapangan terbang lain, termasuk sebuah lapangan terbang lebih kecil di Jakarta dan sebuah lagi di bandar raya berdekatan, Bandung turut dibuka semula.
Sebuah lagi lapangan terbang sudah dibuka semula pada Isnin, manakala dua masih ditutup.
Dudy berkata, pihak berkuasa masih perlu memeriksa kelayakan terbang 178 pesawat yang berada di Soekarno-Hatta sepanjang tempoh penutupan.
“Mungkin ia mengambil sedikit masa tambahan untuk menyediakan pesawat,” katanya dipetik Reuters.
Menteri Penyelaras Infrastruktur, Agus Harimurti Yudhoyono pada Isnin berkata, kira-kira 341,000 orang terjejas akibat kelewatan, pengalihan laluan atau pembatalan 2,961 penerbangan di lapangan terbang yang ditutup.
Anak Krakatau merupakan antara kira-kira 130 gunung berapi aktif di Indonesia yang terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik, zon sangat aktif dari segi seismik apabila pertembungan plat kerak bumi mencetuskan banyak gempa bumi dan letusan gunung berapi.
Anak Krakatau mula muncul kira-kira seabad lalu di kawasan yang sebelum itu diduduki Gunung Krakatau, atau Krakatoa.
Gunung berapi itu musnah dalam siri letusan besar pada 1883 yang mengorbankan lebih 36,000 orang selepas mencetuskan beberapa siri tsunami.







