RM6 juta belanja naik taraf Stadium Tuanku Abdul Rahman

RM6 juta belanja naik taraf Stadium Tuanku Abdul Rahman

MUSTAPHA Nagoor (tengah) bersama para pegawai bergambar di bilik persalinan pemain ketika sesi lawatan selepas Majlis Penyerahan Projek Kerja-kerja Menaik Taraf Bilik Persalinan dan Kerja-kerja Mengecat Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban, hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lebih RM6 juta dibelanjakan bagi menaik taraf sebahagian kemudahan di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mustapha Nagoor berkata, ia melibatkan kerja mengecat bangunan, ubah suai bilik persalinan pemain, naik taraf tandas penonton dan pemasangan lampu limpah baharu.

Katanya, kerja mengecat bangunan dan ubah suai bilik persalinan telah pun siap dan boleh digunakan manakala pemasangan lampu limpah baharu akan siap pada Mac tahun depan sementara naik taraf tandas sedang dilakukan.

“Pihak pengendali stadium menerima peruntukan sebanyak RM4.3 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan bagi pemasangan lampu limpah manakala lebih RM500,000 diterima daripada kementerian itu untuk kerja mengecat.

“Sebanyak RM650,000 diterima daripada Majlis Bandaraya Seremban untuk ubah suai tandas dan RM615,000 digunakan untuk naik taraf bilik persalinan daripada peruntukan kerajaan negeri,” katanya kepada para pemberita selepas Majlis Penyerahan Kerja-Kerja Menaik Taraf Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini hari ini.

Mustapha memberitahu, kerajaan negeri gembira dengan kerja naik taraf itu bertujuan menawarkan kemudahan lebih baik kepada orang ramai di negeri ini.

Jelasnya, pihaknya berharap pihak yang menyalurkan peruntukan terutamanya Kementerian Belia dan Sukan sudi memberi pertimbangan untuk naik taraf lain-lain kemudahan di stadium itu yang memerlukan perhatian.

“Antaranya ialah penukaran papan skor yang kini sudah uzur kerana telah digunakan lebih 10 tahun lalu.

“Kerajaan negeri berharap peruntukan ini diluluskan sekaligus menjadikan STAR sebagai stadium utama di negeri ini yang mampu menarik kedatangan orang ramai,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×