Tiada kementerian belanja lebih daripada peruntukan

Tiada kementerian belanja lebih daripada peruntukan

AHMAD Zahid Hamidi dan dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil ketika melawat galeri PKD di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kementerian Ke­majuan Desa dan Wilayah (KKDW) tidak akan membe­lanjakan peruntukan melebihi jumlah yang telah diluluskan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, segala perbelanjaan kementerian itu adalah berdasarkan peruntukan yang dinyatakan dalam belanjawan atau jumlah yang telah diluluskan kerajaan.

“Perkara yang dibelanjakan itu secara tidak langsung menjawab persoalan KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican) walaupun beliau tidak ada di sini.

“Tiada sebuah kementerian belanja melebihi yang dinyatakan dalam ucapan belanjawan atau yang telah diperuntukkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi pembukaan Bengkel Kerjasama Strategik Pusat Komuniti Desa (PKD) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di sini semalam.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mendedahkan wujud isu kelewatan pembayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek pembangunanan di bawah kementerian itu.

Bagaimanapun, Johan da­lam kenyataan menafikan terdapat sebarang sekatan terhadap peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar, sebaliknya keseluruhan peruntukan berke­naan telah disalurkan.

Beliau malah turut menjelaskan, kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berpunca daripada peruntukan tahun semasa yang hampir ke­seluruhannya telah dibelanjakan.

Katanya, Kementerian Kewangan (MOF) juga telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kejayaan sesebuah kementerian tidak se­harus­nya dinilai hanya berdasarkan jumlah program dilaksanakan, bilangan peserta atau jumlah peruntukan yang dibelanjakan.

“Di KKDW, kami berpegang kepada prinsip bahawa kejayaan tidak boleh dinilai hanya melalui jumlah program atau bilangan peserta atau berapa bajet yang telah dibelanjakan,” katanya.

Katanya, ukuran keberhasilan perlu beralih daripada sekadar menghitung aktiviti kepada melihat perubahan yang dicapai hasil pelaksanaan sesuatu program.

Sementara itu, Ahmad Zahid mahu kerjasama PKD dan NADI perlu diteruskan demi membantu masyarakat luar bandar mendapat akses digital.

Beliau berkata, ekosistem kerjasama yang dipersetujui antara kedua-dua pihak perlu dikekalkan bagi memastikan rakyat, khususnya anak muda terus mendapat manfaat itu.

Katanya, kelangsungan kerjasama itu penting bagi memastikan agenda pendigitalan negara dapat dilaksanakan secara konsisten khususnya kepada masyarakat di luar bandar.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×