4 sekeluarga, 2 malim ditemukan selamat - Utusan Malaysia

4 sekeluarga, 2 malim ditemukan selamat

DUA malim gunung terlibat menunjukkan isyarat bagus menerusi gambar yang dihantar kepada rakan mereka semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Empat sekeluarga dan dua malim gunung yang dilaporkan hilang ketika mengikuti aktiviti pendakian Gunung Trans Gerah (Trans GGB) di Hutan Simpan Lojing, Kelantan ditemukan selamat.

Setakat pukul 7 petang semalam, difahamkan, seorang daripada mereka cedera tetapi tahap kecederaan belum dapat dipastikan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, maklumat keberadaan kesemua mangsa diperoleh selepas pihaknya berjaya menghubungi salah seorang malim gunung yang bersama kumpulan itu sekitar pukul 5.30 petang.

Katanya, kesemua mereka berada di trek pendakian dan dalam keadaan selamat.

“Mereka boleh bergerak tetapi perlahan. Pasukan penyelamat akan menyusul trek pendakian di mana kumpulan itu berada untuk membawa mereka keluar,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, kaedah penyelamatan juga akan menggunakan helikopter yang akan membawa pasukan penyelamat dan menurunkan mereka di salah satu kem, sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi mangsa.

“Pasukan penyelamat akan naik hari ini juga,” katanya.

Semalam, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mengesan kesemua mangsa digerakkan selepas mereka gagal keluar mengikut jadual di Pos Kemar pada 3 September lalu.

Keenam-enam individu itu dilaporkan memulakan pendakian merentas tiga puncak gunung iaitu Gerah, Bilah dan Bieh (Trans GGB) pada 29 Ogos lalu.

Dua malim gunung itu ialah Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, serta empat sekeluarga iaitu Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39; isterinya, Siti Zulaiha Norizan, 39, dan dua anak mereka, Diya Raisha, 13, serta Ahmad Raef, 9. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×