PETALING JAYA: Kebanyakan ibu bapa mengambil keputusan untuk tidak membenarkan anak mereka hadir ke sekolah, susulan keadaan jerebu yang semakin memburuk di seluruh negara.
Pemerhatian di media sosial mendapati, kebanyakan ibu bapa meluahkan perasaan bimbang terhadap kesihatan anak-anak mereka yang terdedah kepada kualiti udara tidak sihat.
Rata-rata mereka mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) penutupan sekolah mengikut nilai Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang didakwa lambat bertindak balas terhadap situasi di lapangan.
Pengguna platform Threads, @eilahalie memberitahu, tindakan yang diambilnya adalah demi keselamatan anak.
“Saya tidak sekolahkan anak sebab jerebu teruk. Semua tanggungjawab kita, kalau jadi apa-apa, sekolah akan kata dia ikut panduan Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya.
Seorang lagi pengguna, @izuilam mempersoalkan kewajaran menunggu bacaan tertentu sebelum tindakan diambil terutamanya bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan kronik seperti asma.
“Takkan hendak tunggu teruk baru tutup? Macam mana anak yang ada asma? Ada jaminan ke pergi sekolah tu, streslah,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, ibu bapa yang bimbang terhadap kesihatan anak susulan keadaan jerebu ketika ini dibenarkan untuk tidak menghantar mereka ke sekolah dengan memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.
Katanya, tindakan berkaitan pengoperasian sekolah ketika jerebu dibuat berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dengan bacaan IPU menjadi rujukan rasmi.
“Ibu bapa dibenarkan tidak menghantar mereka ke sekolah dengan memaklumkan pihak sekolah,” katanya. – UTUSAN










