BESUT: Lazimnya berbuah sekali dalam dua tahun, kemunculan buah binjai atau nama saintifiknya mangifera caesia sentiasa dinanti-nantikan peminatnya sehingga laris dijual dalam tempoh beberapa jam sahaja.
Seorang peniaga, Mohd. Syahrul Arizan Mohd. Sabri berkata, musim buah binjai tahun ini lebih meriah berbanding sebelumnya apabila mengeluarkan banyak hasil dan mendapat sambutan tinggi daripada penduduk setempat.
Katanya, buah berkenaan biasanya mula muncul sekitar hujung Ogos dan mempunyai peminat tersendiri meskipun rasanya masam-masam manis berbanding kebanyakan buah-buahan lain.
“Buah binjai memang masam tetapi ada peminatnya sendiri. Apabila musimnya tiba, penduduk setempat mula mencari kerana buah ini jarang ditemukan dan tidak boleh didapati sepanjang tahun.
“Biasanya orang makan secara tradisional dengan menjadikannya jeruk dan dicampurkan bersama air gula serta garam atau kicap lada ,” katanya ketika ditemui di Kampung Alor Lintang, di sini.
Menurut Mohd. Syahrul Arizan, dia mampu menjual antara 20 hingga 30 kilogram buah binjai dalam sehari dan kebiasaannya habis dalam masa tiga hingga empat jam.
Ujarnya, buah berkenaan dijual pada harga sekitar RM10 bagi tiga biji bergantung kepada saiz dan keadaan. – UTUSAN










