PH tidak kecil hati tidak dijemput ke PAU 2026

PH tidak kecil hati tidak dijemput ke PAU 2026

MAHFUZ OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) tidak kecil hati apabila sekutunya dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO tidak menjemput gabungan itu ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang dijadualkan berlangsung Rabu hingga Ahad ini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, PH tidak mengambil hati atau mahu memaksa UMNO untuk menjemput gabungan itu ke perhimpunan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan tindakan UMNO yang tidak menjemput sekutunya dalam Kerajaan Perpaduan, sebaliknya mengundang Pas yang merupakan parti lawan.

“Saya pun tidak tahu apa niat dia (UMNO), apa yang ada dalam hati dia kan, dia tidak jemput sebab itu perhimpunan dia kan, jadi jemputan atas atas dialah, hendak jemput atau tidak. Saya tidak tahu kenapa dia tidak jemput PH dan kenapa dia jemput orang lain (Pas).

“Saya pun tidak nak memaksa mereka nak menjelaskan perkara ini kepada kita dan sebagainya. Itu terpulang kepada kepada kepada mereka. Itu soal urusan parti mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, PH tidak dijemput ke PAU 2026 dan sekiranya jemputan dibuat sekalipun, beliau menjangkakan gabungan itu tidak akan menghantar wakil ke perhimpunan kali ini.

Katanya, jemputan kepada Pas pula adalah sebagai membalas undangan ke Muktamar Pas Ke-72 di Kota Bharu, Kelantan, hujung minggu lalu.

Mahfuz dalam pada itu berkata, PH akan terus membuat persediaan awal bagi menghadapi pelbagai kemungkinan, termasuk berkaitan kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Kami pun bersedia dari awal bekerjasama dan sebagainya, tapi terpulanglah kalau kalau dia rasa dia sudah tidak perlu ada kerjasama dengan PH, itu terpulanglah kepada dia apa yang harus dia lakukan.

“Dia tidak boleh berada dalam satu rumah, tapi dalam masa yang sama, berkawan pula dengan orang yang hendak meruntuhkan rumah tersebut,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi berkata, PKR menghormati keputusan UMNO untuk tidak menjemput PH ke PAU 2026.

Beliau berkata, PKR dan PH akan terus memberi fokus kepada pentadbiran negara sehingga akhir penggal selain mengekalkan usaha konsisten untuk menstruktur semula ekonomi Malaysia.

“Kami pun tidak ada isu kalau dijemput, menjadi keputusan pihak kami untuk hadir atau tidak itu terletak pada keputusan Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Tapi jika tidak dijemput, tidak menjadi apa-apa permasalahan bagi kami dan kami tidak melihat itu sebagai satu tanda ataupun apa-apa keputusan yang menunjukkan adanya perpecahan dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Tambahnya, PH tidak perlu berasa sakit hati apabila tidak dijemput walaupun parti lawan pula diundang menghadiri perhimpunan berkenaan.

“Kita tidak perlu ataupun rasa sakit hati apa-apa pun terjadi sebab ini persidangan parti politik.

“Ia satu platform bagi mana-mana parti politik untuk membincangkan hal ehwal masa depan parti mereka dan masa depan UMNO ini bukan keputusan PKR untuk menentukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×