Suka makan budu, Zaki Yamani akui 'jatuh cinta' dialek Kelantan

Suka makan budu, Zaki Yamani akui ‘jatuh cinta’ dialek Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Zaki Yamani, 20, mengakui semakin jatuh cinta dengan keunikan dialek Kelantan, meskipun tidak memahami sepenuhnya percakapan rakan-rakannya dari negeri itu.

Katanya, minat tersebut timbul kerana dia banyak bergaul dengan rakan-rakan dari Kelantan sehingga dia mengakui seronok mendengar mereka bertutur dalam dialek berkenaan.

Menurut Zaki, keunikan dialek Kelantan menjadi sesuatu yang menarik perhatiannya, apatah lagi apabila dia turut menyukai lagu-lagu dari negeri tersebut.

“Senang cerita, lingkungan pergaulan saya banyak orang Kelantan. Termasuk di universiti. Saya memang seronok dengar mereka bercakap. Saya tidak faham apa-apa, tetapi seronok mendengar mereka bercakap.

“Sebab setakat ini, dialek yang paling saya tahu pun dialek  negeri Perak sahaja. Jadi, apabila dengar dialek Kelantan, ia macam unik. Lebih-lebih lagi lagu mereka. Lagu Kelantan sedap. Tetapi tidak faham apa-apa pun. Macam itulah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Majlis Pelancaran single terbaharunya, Akur, di ibu negara, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, kata Zaki, meskipun menyukai lagu-lagu Kelantan, dia masih bergelut untuk memahami dan menghafal lirik lagu dialek berkenaan.

Malah, anak kepada Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah ini juga mengakui pernah berdepan pengalaman mencuit hati apabila bertemu dengan penyanyi lagu Kelantan yang diminatinya, sebelum cuba menyanyikan lagu berkenaan di hadapan pemilik karya tersebut.

“Banyak lagu Kelantan yang saya dengar. Memang banyak. Tetapi saya tidak tahu apa-apa. Kalau dengar lagu itu pun tidak tahu tajuknya. Saya tulis lirik di carian Internet baru keluar.

“Kemudian, saya pernah berjumpa dengan penyanyi lagu itu ketika berada di Kelantan. Saya nyanyi di hadapan dia, tetapi dia kata lirik saya salah,” ujarnya.

Dalam pada itu, minat Zaki terhadap Kelantan bukan sekadar tertumpu kepada dialek dan muzik, sebaliknya turut merangkumi makanan tradisional negeri berkenaan.

Budu antara hidangan yang paling digemarinya dan menurut Zaki, makanan itu sudah menjadi kegemarannya sejak dahulu lagi.

“Budu itu memang saya suka daripada dulu. Tidak tahu kenapa. Saya makan budu, tempoyak, ikan keli dengan nasi putih. Cukup. Itu makanan tengah hari yang terbaik,” katanya.

Bagaimanapun, Zaki mengakui penguasaannya terhadap dialek Kelantan masih belum boleh dibanggakan apabila hanya mengetahui beberapa perkataan yang sering didengarinya.

“Tidak pernah belajar bercakap menggunakan dialek Kelantan. Saya tahu beberapa sahaja. Itu pun beberapa perkataan yang biasa didengar. Itu sahajalah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×