SEJARAH politik Melayu mungkin sedang memasuki satu lagi persimpangan penting.
Usul memperkukuh agenda penyatuan ummah yang diluluskan sebulat suara oleh perwakilan pada Muktamar Tahunan Pas Ke-72 bukan sekadar resolusi biasa. Ia membawa mandat politik yang jelas, sekali gus memberi isyarat Pas mahu membuka ruang kepada pemuafakatan lebih baik dengan UMNO.
Perkembangan ini penting kerana kedua-dua parti merupakan antara pemain utama politik Melayu.
Selama bertahun-tahun, mereka berada di gelanggang berbeza. Namun, perubahan landskap politik negara kini mendorong kedua-duanya menilai semula hubungan tersebut.
Selepas tepukan reda dan muktamar melabuhkan tirai, persoalan sebenar pula bermula. Adakah kesepakatan yang dicapai di pentas perhimpunan mampu diterjemahkan apabila kedua-dua pihak duduk di meja rundingan?
Ujian itu tidak dapat dielakkan. Perpaduan mudah disebut ketika tiada kepentingan yang perlu dilepaskan. Namun, keadaan berubah apabila calon, kawasan dan pengaruh parti mula dipertaruhkan.
Calon yang bertahun-tahun membina pengaruh mungkin perlu memberi laluan. Jentera yang selama ini berkempen menentang parti lawan pula perlu belajar bekerjasama. Di peringkat akar umbi, perubahan sedemikian bukan sesuatu yang mudah kerana persaingan politik sudah membentuk hubungan, sentimen dan kesetiaan selama bertahun-tahun.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, memberikan peringatan awal. Beliau mengingatkan anggota parti keputusan menyokong agenda penyatuan ummah secara sebulat suara itu akan berdepan ujian apabila tiba masa perundingan kerusi bagi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Dalam keadaan tersebut, beliau menyeru anggota berpegang kepada wala’, thiqah dan ketaatan kepada kepemimpinan. Peringatan itu menunjukkan cabaran sebenar bukan sekadar mendapatkan persetujuan di peringkat atasan tetapi memastikan keputusan tersebut diterima sehingga ke akar umbi.
BUKAN MENGHIDUPKAN SEMULA MUAFAKAT NASIONAL
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pula menegaskan usaha mendekatkan Pas dan UMNO bukan bertujuan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).
Sebaliknya, bagi memenuhi harapan orang Melayu terhadap pemuafakatan lebih baik antara kedua-dua parti demi kestabilan politik negara.
Kenyataan itu membuka kemungkinan kepada pendekatan yang berbeza. Penyatuan tidak semestinya membawa maksud penggabungan parti atau mengulangi formula yang pernah digunakan. Ia boleh hadir dalam bentuk persefahaman strategik, kerjasama dalam isu tertentu, mengurangkan pertandingan sesama sendiri serta membina agenda bersama.
Ini penting kerana politik hari ini tidak lagi sama seperti ketika MN diwujudkan. Pola pengundian berubah, generasi baharu semakin menentukan pilihan dan isu yang menjadi perhatian rakyat juga semakin pelbagai.
Justeru, Pas dan UMNO tidak boleh sekadar menghidupkan semula formula lama dengan wajah baharu. Jika mahu bergerak ke hadapan, kedua-duanya perlu membina bentuk kerjasama yang lebih praktikal, realistik dan mampu menjawab keperluan semasa.
Namun, ancaman terhadap usaha tersebut mungkin bukan datang daripada pesaing politik, sebaliknya daripada kekuatan dalaman kedua-dua parti sendiri.
Ego kepartian, perebutan kawasan, keinginan mempertahankan pengaruh serta sentimen penyokong yang masih terikat dengan persaingan lama boleh menjadi penghalang terbesar.
Realitinya, tidak semua kawasan boleh dikongsi dan tidak semua calon boleh diketengahkan. Akan ada pihak yang perlu berundur, menunggu atau menerima keputusan yang tidak memihak kepada mereka.
Di sinilah kematangan politik akan dinilai. Kerjasama yang kukuh bukan bermakna semua pihak memperoleh apa yang diinginkan tetapi setiap pihak mampu menerima keputusan bersama demi matlamat yang lebih besar.
Jika perkara itu gagal dicapai, keputusan sebulat suara di muktamar mungkin hanya tinggal sebagai resolusi yang cantik di atas kertas tanpa kekuatan untuk diterjemahkan di lapangan.
KERUSI PRU16 MENJADI UKURAN
Sebab itu, rundingan kerusi PRU16 boleh menjadi ukuran paling jelas terhadap kesungguhan agenda penyatuan ummah.
Pas mempunyai kekuatan tersendiri di beberapa kawasan, manakala UMNO memiliki jaringan tradisional, struktur akar umbi dan pengalaman politik yang masih berpengaruh. Jika kekuatan tersebut dapat disusun secara terancang, ia berpotensi mengubah percaturan pilihan raya.
Sebaliknya, jika kedua-duanya terus bertanding sesama sendiri di kawasan yang sama kerana enggan berkompromi, kerjasama yang dilaungkan akan kehilangan nilai politiknya.
Konsep wala’, thiqah dan ketaatan yang disebut Tuan Ibrahim juga perlu dilihat dalam konteks ini. Ia bukan sekadar ungkapan dalam ucapan tetapi perlu diterjemahkan melalui kesediaan anggota menerima keputusan kepemimpinan, termasuk apabila keputusan itu tidak memenuhi kehendak sendiri.
JANGAN JADIKAN MELAYU SEKADAR ANGKA
Lebih penting, agenda penyatuan ummah tidak boleh berhenti pada matematik pilihan raya.
Jika usaha mendekatkan Pas dan UMNO hanya bertujuan mengumpulkan undi Melayu dan mengelakkan pertembungan, kerjasama itu mungkin tidak mempunyai daya tahan untuk jangka panjang.
Orang Melayu bukan sekadar angka di peti undi. Mereka berdepan persoalan ekonomi, pendidikan, peluang pekerjaan, pemilikan aset, kos sara hidup serta masa depan generasi muda.
Pada masa sama, rakyat Malaysia secara keseluruhannya mengharapkan kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi dan pentadbiran yang mampu menjamin kehidupan lebih baik.
Jika matlamatnya hanya kemenangan pilihan raya, rakyat berhak mengetahui apa yang akan berubah selepas kemenangan itu dicapai.
Sebaliknya, jika kerjasama tersebut mahu membina kestabilan politik, memperkukuh ekonomi rakyat, mempertahankan kepentingan negara dan menghasilkan pentadbiran yang lebih berkesan, maka asasnya jauh lebih kukuh.
SEBULAT SUARA BARU PERMULAAN
Keputusan Muktamar Pas Ke-72 harus dilihat sebagai permulaan, bukannya kejayaan yang sudah tercapai.
Kesepakatan sebulat suara sememangnya penting kerana ia menunjukkan adanya kehendak politik dari dalam parti. UMNO pula memberikan isyarat keterbukaan terhadap usaha membina pemuafakatan yang lebih baik.
Namun, nilai sebenar keputusan itu hanya akan terlihat apabila ia berdepan dengan realiti politik. Meja rundingan kerusi PRU16 bakal menjadi antara medan paling penting untuk mengukur kesungguhan kedua-dua pihak.
Pas dan UMNO tidak perlu lagi membuktikan mereka mampu duduk semeja. Mereka sudah menunjukkan tanda ke arah itu. Yang lebih penting ialah kesediaan untuk kekal di meja yang sama apabila kepentingan masing-masing mula bertembung.
Penyatuan tidak bermakna semua pihak mendapat apa yang dihajati. Ia menuntut kesediaan untuk berkompromi, menerima keputusan bersama dan mendahulukan kepentingan yang lebih besar.
Jika benar kedua-dua parti mahu memenuhi harapan orang Melayu serta rakyat yang mendambakan politik lebih stabil, harmoni dan makmur seperti ditegaskan Asyraf Wajdi, harga yang perlu dibayar mungkin bukan kecil.
Harga itu ialah ego, kepentingan kawasan dan keberanian mengetepikan keutamaan kepartian demi agenda bersama.
Muktamar sudah bersuara. Kini rakyat menunggu tindakan.
Kor guana? –UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.










