Dari pentas fesyen Kuala Lumpur ke New York, pereka fesyen terkenal tanah air, Yani Bakhtiar, meneruskan misi memperkenalkan gaya Nusantara kepada masyarakat antarabangsa menerusi kebaya dan batik.
Yani yang berangkat ke New York pada 5 September ini dengan membawa koleksi yang mengetengahkan gabungan sutera, batik lukis tangan dan batik sarung.
Lebih istimewa, koleksi berkenaan akan digayakan oleh Ratu Cantik Malaysia 2024, Sandra Lim, dalam usaha menampilkan kebaya dalam gaya lebih moden dan dekat dengan cita rasa masyarakat Amerika Syarikat (AS).
Bawa kebaya ke Times Square, New York
Menurut Yani, pendekatan itu diambil bagi menunjukkan kebaya boleh digayakan dalam pelbagai cara tanpa menghilangkan identiti asalnya.
“Gaya Nusantara ini luas, boleh digayakan dengan pelbagai stail dan itulah fesyen.
“Di New York, saya akan tampilkan rekaan menggunakan sutera, batuk lukis dan batik sarung,” katanya ketika ditemui pada Couture Fashion Week Malaysia (CFWM) 2026 di sini.
Yani berkata, dia turut merancang untuk menampilkan Sandra menggayakan kebaya di sekitar Times Square dengan padanan skirt pendek.
Menurutnya, pendekatan tersebut diharap dapat menarik minat masyarakat AS untuk mengenali dan menggayakan kebaya mengikut kesesuaian mereka.
Dia berkata, pemilihan kebaya sebagai antara busana yang dibawa ke New York juga bertujuan memperlihatkan identiti Nusantara dalam bentuk yang lebih segar.
Usaha itu bukan sesuatu yang baharu buat Yani apabila dia sebelum ini membawa koleksi ke Rusia pada Jun lalu dan menerima sambutan menggalakkan.
Pengalaman tersebut menjadi antara pendorong untuk Yani terus memperluaskan rekaan berteraskan warisan tempatan ke pasaran antarabangsa.

Batik sarung jadi taruhan
Susulan pengalaman berkenaan, Yani kini mahu meneruskan usaha mempromosikan rekaan berteraskan Nusantara di Malaysia dan peringkat antarabangsa, termasuk dalam konteks Tahun Melawat Malaysia.
“Saya lebih mempromosikan kain-kain yang eksklusif tetapi dipadankan dengan batik sarung,” katanya.
Selain batik sarung, koleksi Yani turut mengetengahkan perincian manik dan rumbai-rumbai yang menjadi antara keunikan rekaan terbaharunya.
“Keunikan kali ini adalah daripada batik dan daripada manik, rumbai-rumbai yang banyak,” katanya.
Dekati cita rasa Gen Z
Dalam usaha memastikan kebaya dan batik terus mendapat tempat, Yani turut memberi perhatian kepada golongan muda, khususnya generasi Z (Gen Z).
Dia merancang menghasilkan kebaya renda pada harga lebih mampu milik yang dipadankan dengan skirt batik untuk sambutan Aidilfitri akan datang.
“Untuk raya akan datang ini saya akan siapkan kebaya renda yang mampu milik dengan skirt batik supaya budak-budak remaja suka menggayakan gaya-gaya Nusantara ataupun gaya kita, gaya Malaysia,” katanya.
Bagi Yani, pendekatan lebih santai dan mampu milik itu penting bagi mendekatkan warisan fesyen tempatan dengan generasi muda.
CFWM medan perkenal rekaan
Penyertaan Yani dalam CFWM 2026 di Four Seasons Hotel Kuala Lumpur pada Sabtu lalu menjadi antara pentas terkini untuk dia mengetengahkan koleksi berkenaan.
Edisi keempat acara itu dianjurkan Media Path Productions dengan kerjasama Tokyo Couture Fashion Week serta Paris/Milan Fashion Week, menghimpunkan 16 pereka antarabangsa dari beberapa negara termasuk Rusia, Australia, Jepun, Perancis, Maghribi, Indonesia, Filipina, India dan Malaysia.
Lebih 100 model antarabangsa turut terlibat dalam acara yang memberi tumpuan kepada koleksi haute couture dan jenama mewah itu.
Bagi Yani, CFWM memberi ruang kepada pereka tempatan untuk memperkenalkan karya berasaskan warisan kepada khalayak lebih luas.







