Lelaki dituduh dera 361 kanak-kanak melalui media sosial

Lelaki dituduh dera 361 kanak-kanak melalui media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HELSINKI: Seorang lelaki di Finland didakwa melakukan kesalahan seksual terhadap 361 kanak-kanak lelaki berusia antara sembilan hingga 15 tahun menerusi platform media sosial, termasuk Snapchat.

Prosiding kes itu dibuka kepada umum di Mahkamah Daerah Pirkanmaa pada Isnin sebelum diteruskan secara tertutup mulai Selasa.

Lelaki berkenaan didakwa melakukan kesalahan seksual terhadap mangsa antara 2019 hingga 2022.

Menurut penyiar awam Finland, Yle, mangsa adalah kanak-kanak lelaki dari seluruh negara itu.

Pada Disember 2025, polis Finland mengumumkan siasatan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun yang disyaki terbabit dalam 364 kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Bagaimanapun, Pihak Pendakwaan Negara pada Jun memaklumkan bahawa pendakwa memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan bagi tiga daripada kes berkenaan.

Polis berkata ribuan video dan gambar kanak-kanak yang belum dikenal pasti ditemukan dalam telefon bimbit lelaki itu pada 2022 ketika peranti berkenaan diperiksa dalam siasatan kes jenayah lain.

Suspek didakwa menghubungi kanak-kanak terbabit menerusi Snapchat sebelum meminta mereka mengambil dan menghantar gambar atau video diri dalam keadaan berpakaian minimum atau tanpa pakaian.

Polis berkata, lelaki itu turut meminta mangsa melakukan perbuatan seksual.

Pendakwa berkata kepada AFP menjelang perbicaraan, pertuduhan utama terhadap lelaki berkenaan termasuk penderaan seksual kanak-kanak secara serius, penderaan seksual kanak-kanak serta pengedaran secara serius imej kanak-kanak yang memaparkan unsur seksual.

Lelaki itu mengakui sebahagian daripada kesalahan berkenaan ketika siasatan dijalankan.

Dengan kira-kira 45 hari prosiding diperuntukkan untuk kes itu, mahkamah menjangkakan perbicaraan berkenaan berlangsung sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×