JAKARTA: Menteri Pengangkutan Indonesia, Dudy Purwagandhi mengarahkan semua syarikat penerbangan memastikan hak penumpang yang terjejas akibat penutupan lapan lapangan terbang susulan letusan Gunung Anak Krakatau.
Mereka mahu semua syarikat penerbangan membuat bayaran balik tiket kepada penumpang.
“Kami telah menyampaikan bahawa semua syarikat penerbangan mesti memudahkan hak penumpang untuk menjadualkan semula penerbangan atau mendapatkan bayaran balik tiket,” kata Menteri itu di Jakarta pada Ahad.
Lapangan terbang utama Jakarta dan tiga lapangan terbang lain melanjutkan penutupan operasi sehingga jam 6 petang Isnin selepas terpaksa menghentikan operasi susulan letusan gunung berapi, menyebabkan puluhan ribu penumpang terkandas.
Gunung Anak Krakatau, kira-kira 150 kilometer dari ibu negara Indonesia itu, meletus pada Sabtu, memuntahkan lahar dan debu gunung berapi ke udara.
Lapan lapangan terbang menghentikan operasi pada hujung minggu selepas debu gunung berapi dikesan di ruang udara mereka, mengganggu ratusan penerbangan dan menyebabkan lebih 170,000 penumpang terkandas, menurut Kementerian Pengangkutan.
Sekurang-kurangnya empat lapangan terbang, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, melanjutkan penutupan operasi dari pagi Isnin hingga jam 6 petang waktu tempatan, kata pengendali lapangan terbang, Angkasa Pura dalam satu hantaran di media sosial.
“Sehubungan dengan peningkatan aktiviti letusan Gunung Anak Krakatau, operasi penerbangan di beberapa lapangan terbang telah digantung; penumpang dinasihatkan supaya sentiasa menyemak status penerbangan mereka dengan syarikat penerbangan masing-masing,” kata pengendali berkenaan. – AGENSI










