Negeri Sembilan akan tambah baik pavilion di MAHA

Negeri Sembilan akan tambah baik pavilion di MAHA

PAVILION Negeri Sembilan di MAHA 2026 baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan meneliti semula konsep, reka bentuk, persembahan, kandungan dan pengalaman pengunjung dalam penyertaan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) akan datang.

Langkah itu susulan maklum balas diterima daripada pengunjung berhubung Pavilion Negeri Sembilan di MAHA 2026 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) baru-baru ini tidak menarik perhatian berbanding pavilion negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri Sembilan, Datuk Razali Abu Samah berkata, beliau mengambil maklum pelbagai pandangan, teguran dan komen orang ramai berhubung pavilion berkenaan dan menganggapnya sebagai input untuk penambahbaikan.

Katanya, perkara itu perlu dilihat dalam konteks lebih luas kerana pavilion berkenaan menjadi platform untuk mengetengahkan wajah, identiti dan potensi Negeri Sembilan kepada pengunjung dari seluruh negara.

“MAHA 2026 merupakan platform besar untuk kita memperkenalkan makanan, usahawan, produk tempatan, teknologi pertanian, industri asas tani, budaya, warisan, pelancongan, agropelancongan serta peluang ekonomi Negeri Sembilan kepada masyarakat seluruh Malaysia.

“Sebab itu, setiap teguran dan pandangan masyarakat kita terima sebagai input untuk penambahbaikan,” katanya hari ini.

Beliau dalam pada itu memaklumkan, pavilion Negeri Sembilan di MAHA 2026 merupakan pavilion kekal dan merupakan projek yang diperuntukkan menerusi Belanjawan Negeri Sembilan 2025.

Jelas Razali, projek berkenaan diluluskan dan dimulakan di bawah pentadbiran sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) 2026.

Menurutnya, proses pembinaan dan penyempurnaan pavilion tersebut mengambil masa lapan bulan dengan kos hampir RM3 juta sebelum disiapkan di bawah pentadbiran baharu dan digunakan pada MAHA 2026.

“Untuk pengetahuan semua, Pavilion ‘Kekal’ Negeri Sembilan di MAHA ini merupakan projek yang telah diperuntukkan melalui Belanjawan Negeri Sembilan 2025, diluluskan dan dimulakan di bawah pentadbiran sebelum PRN 2026.

“Proses pembinaan dan penyempurnaannya pula berlangsung sehingga tahun 2026 dan disiapkan di bawah pentadbiran baharu,” katanya.

Menurutnya, projek berkenaan juga bukan di bawah portfolio Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan.

“Pavilion tersebut kini menjadi sebahagian daripada aset Negeri Sembilan dan perkara lebih penting adalah memastikan kemudahan itu dimanfaatkan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat dan negeri.

“Bagi saya, perkara yang lebih penting sekarang bukan sekadar melihat apa yang telah berlaku, tetapi bagaimana aset yang telah dibangunkan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dan memberikan impak yang maksimum kepada rakyat serta negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×