PRU16: UMNO mahu bubar Parlimen awal agar Pas dapat jadi PM - AMK

PRU16: UMNO mahu bubar Parlimen awal agar Pas dapat jadi PM – AMK

Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Taktikal dan misi utama dalam kerjasama politik antara UMNO dan Pas semakin terserlah baru-baru ini apabila masing-masing sedang mencatur pergerakan politik untuk kepentingan masing-masing.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi berkata, ia selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini berkata, membubarkan Parlimen awal bagi mengadakan PRU16 adalah lebih baik dan Pas pula kedengaran mahu menjadi Perdana Menteri (PM) ke-11 selepas pilihan raya umum akan datang.

“Di sini, kita nampak bahawa sebagai sebahagian daripada Kerajaan Madani, UMNO akan menekan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan PRU16 lebih awal agar Pas mampu untuk menjadi PM sementara sentimen penyatuan ummah dan perpaduan Melayu masih terkesan kepada masyarakat.

“Untuk UMNO pula, isu rasuah mungkin ‘selamat’ sebab Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sudah kata isu rasuah di Malaysia digunakan bagi memburukkan lawan politiknya,” katanya hari ini.

Baru-baru ini, Abdul Hadi ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Muktamar Pas Pusat menuduh kerajaan mengambil tindakan secara terpilih dalam usaha membanteras rasuah.

Abdul Hadi mendakwa isu rasuah di Malaysia digunakan bagi memburukkan lawan politiknya manakala sekutu pihak berkuasa pula didakwa terlepas daripada tuntutan keadilan.

Abdul Hadi turut mengakui Pas mempunyai calon Perdana Menteri daripada parti itu bagi menghadapi PRU16, namun belum tiba masanya untuk mendedahkan individu berkenaan dengan penentuan calon PM hanya akan dibuat selepas melihat kekuatan kerusi yang dimenangi parti-parti bertanding.

Sebelum itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengambil pendirian bahawa adalah lebih baik PRU16 diadakan lebih awal, iaitu sebelum menghampiri tempoh penggal Parlimen yang sepatutnya berakhir pada hujung tahun depan.

Ujar Ahmad Zahid, langkah sedemikian akan membolehkan mandat mentadbir kerajaan Persekutuan dapat diperoleh kembali daripada rakyat.

Mengulas lanjut, Muhammad Iman Haziq berkata, Pas sememangnya layak untuk menjadi PM selepas PRU yang akan datang kerana bakal memperoleh lebih banyak kerusi daripada UMNO dengan gabungan tersebut dijangka mampu untuk mencapai majoriti mudah 112 kerusi.

“Tidak mengapa juga untuk UMNO lepaskan kerusi PM kepada Pas asalkan ramai pimpinan UMNO yang sekarang ini sedang turun naik mahkamah kerana didakwa kes rasuah boleh terlepas kerana menurut Pas, rasuah bukan suatu jenayah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×