LIVERPOOL: Ainsley Maitland-Niles mencuri tumpuan pada penampilan sulungnya bersama Everton apabila meledak jaringan menarik pada saat-saat akhir untuk membantu pasukannya mengikat Manchester United 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.
Maitland-Niles yang menyertai Everton dari Lyon pada hari terakhir jendela perpindahan menyelamatkan The Toffees menerusi rembatan jarak jauh yang menerjah penjuru atas gawang pada minit ke-96, sekali gus menghukum persembahan hambar United.

Kehadiran pemain yang pernah menyarung jersi Arsenal itu sebelum ini tenggelam susulan kegagalan Everton memperkuatkan barisan serangan mereka sebelum jendela perpindahan ditutup.
The Red Devisl terlebih dahulu berada di depan sejurus babak kedua bermula apabila Bryan Mbeumo meledak gol pembukaan, namun Everton yang kekurangan pilihan di jentera serangan bangkit menyamakan kedudukan menerusi Tyrique George.
United kemudian kelihatan bakal membawa pulang tiga mata apabila pemain gantian, Benjamin Sesko, menanduk masuk gol untuk kembali meletakkan The Red Devils di depan.
Namun, keputusan pengurus United, Michael Carrick, untuk tidak memperkuatkan benteng pertahanan sekali lagi mengundang persoalan selepas pasukannya dibolosi dua gol dalam setiap tiga perlawanan pembukaan EPL musim ini.
Keputusan seri itu memastikan Everton meneruskan permulaan tanpa kalah musim ini, selain kekal satu mata di depan United dan sedikit meredakan kebimbangan dalam kalangan penyokong mereka.
Bagaimanapun, kegagalan Everton memperkuatkan skuad pada hari terakhir jendela perpindahan dijangka memberi kesan terhadap perjalanan mereka sepanjang musim, khususnya jika pasukan itu berdepan ancaman penyingkiran.
Everton sebelum ini melepaskan Iliman Ndiaye ke Manchester City dengan nilai 65 juta pound (RM350 juta) dan Beto ke Fiorentina, sekali gus menjangkakan Folarin Balogun dari Monaco bakal menjadi pengganti di jentera serangan.
Namun, masalah ketika pemeriksaan kesihatan pemain antarabangsa Amerika Syarikat itu menyebabkan Everton terpaksa merundingkan semula struktur perpindahan bernilai 40 juta pound (RM216 juta), sebelum Balogun akhirnya membatalkan hasrat untuk menyertai kelab berkenaan.
Situasi itu menyebabkan David Moyes kini hanya mempunyai seorang penyerang tulen, Thierno Barry, untuk dipertaruhkan selain hanya 18 pemain luar yang boleh dipilih.
Kehadiran Jack Grealish secara pinjaman selama semusim sedikit sebanyak mengurangkan kekecewaan, namun Moyes kini perlu berdepan realiti kemungkinan terjebak dalam persaingan mengelak penyingkiran berbanding memburu tiket ke saingan Eropah.- AGENSI










