Bukit Gantang: Kerajaan perlu mengkaji keperluan mewujudkan akta khusus bagi kegiatan judi dalam talian atau meminda undang-undang sedia ada bagi menutup kelompongan yang menyebabkan kegiatan itu sukar dibuktikan di mahkamah.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata, perkembangan teknologi dan perubahan modus operandi sindiket perjudian menyebabkan peruntukan undang-undang sedia ada perlu disesuaikan dengan keadaan semasa.
Menurut beliau, antara cabaran utama penguatkuasaan ialah pembuktian unsur perjudian apabila operasi menggunakan sistem token selain pelayan (server) yang mungkin berada di luar negara.
“Apabila kita kaji undang-undang itu, memang terlalu banyak loophole. Salah satu yang sukar dibuktikan ialah mengenai server kerana tidak berada dalam negara kita ataupun dalam kedai tersebut,” katanya ditemui di Pejabat Umno Bukit Gantang di sini hari ini.
Beliau berkata, kewujudan penjual dan pembeli top-up perjudian dalam talian mungkin dapat dikenal pasti, namun resit transaksi tidak semestinya mencukupi untuk membuktikan keseluruhan rangkaian kegiatan perjudian di mahkamah.
Katanya, keadaan itu menunjukkan keperluan kerajaan menilai semula peruntukan undang-undang supaya elemen kesalahan berkaitan perjudian dalam talian dapat dibuktikan dengan lebih jelas.
“Yang jelas pada kita ketika ini ialah adanya pembeli dan penjual top-up itu sendiri. Namun, resit yang dikeluarkan oleh penjual kalau hendak kita jadikan bukti juga tidak semestinya mampu sampai ke mahkamah,” katanya.
Sehubungan itu, Mohammad Sollehin berkata, kerajaan tidak seharusnya tergesa-gesa menggubal undang-undang baharu tanpa terlebih dahulu memahami keseluruhan modus operandi sindiket perjudian dalam talian.
Katanya, penelitian itu penting kerana sindiket terbabit sentiasa mencari ruang untuk mengelak daripada tindakan undang-undang.
“Kita tidak faham sepenuhnya environment mereka dan kita tidak tahu di mana loophole itu. Kita tutup yang ini, mereka buka yang lain pula,” katanya.
Beliau berkata, undang-undang berkaitan perjudian juga perlu mengambil kira aspek teknologi, transaksi kewangan dan pengoperasian sindiket yang tidak lagi bergantung kepada premis fizikal semata-mata.
Katanya, pendekatan itu penting supaya tindakan penguatkuasaan tidak terhenti pada penjual atau pekerja di premis, sebaliknya dapat membawa pihak yang mengawal dan membiayai rangkaian perjudian ke muka pengadilan.
“Kalau kita tahu mereka menggunakan token, kita cari jalan bagaimana hendak mengenakan pertuduhan kerana ada unsur perjudian. Kita ada kuasa. Kalau pihak berkuasa percaya ada unsur perjudian, mereka boleh mengambil tindakan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang berkata, sebarang pindaan atau akta baharu perlu dibuat berdasarkan kajian menyeluruh terhadap kelemahan penguatkuasaan dan perkembangan teknologi supaya tidak mudah dieksploitasi sindiket.
“Kita perlu pastikan undang-undang yang hendak dibentangkan di Parlimen itu relevan dengan zaman sekarang. Kalau tidak, setiap kali kita tutup satu ruang, mereka akan cari ruang lain,” katanya. – UTUSAN










