PETALING JAYA: Malaysia menutup tirai Kejohanan Badminton Siri Antarabangsa (IS) Malaysia 2026 dengan tiga gelaran selepas saingan berakhir di Arena Badminton Perak, Ipoh hari ini.
Gelaran pertama hadir menerusi beregu campuran Irfan Shazmir-Genevie Lim yang menundukkan pasangan Lau Yi Sheng-Yap Rui Chen 21-18, 21-15 dalam masa 31 minit.
Kemenangan itu cukup bermakna buat Irfan-Genevie apabila mereka berjaya menamatkan kempen dengan gelaran sulung sejak digandingkan sebagai pasangan.
“Saya agak gementar terutama ketika perlawanan menghampiri mata ke-11, tetapi selepas kami mengutip beberapa mata lagi, perasaan itu mula hilang,” katanya.
Genevie pula melihat kejayaan tersebut sebagai suntikan keyakinan untuk mereka terus bekerja keras dalam latihan, khususnya bagi memperkemas aspek konsistensi dan kekuatan permainan.
Dalam perseorangan lelaki, Razeeq Danial memastikan satu lagi gelaran menjadi milik tuan rumah selepas menewaskan Muhammad Haziq 17-21, 21-12, 22-20 dalam pertarungan selama 52 minit.
Razeeq terpaksa bekerja keras selepas kehilangan set pembukaan sebelum bangkit menguasai dua set berikutnya untuk memastikan kemenangan dalam aksi yang berlangsung sengit.
Malaysia kemudian melengkapkan koleksi tiga gelaran menerusi beregu lelaki Lau Yi Sheng-Lee Yi Bo yang menewaskan Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal-Isyraf Hafizin 22-20, 22-20 dalam tempoh 34 minit.










