Pang Ron-Pei Jing simpan hasrat ke Olimpik

Pang Ron-Pei Jing simpan hasrat ke Olimpik

BEREGU Campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing muncul naib juara China Masters.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing berharap pencapaian mereka muncul sebagai naib juara Kejohanan Badminton China Masters akan menjadi satu titik permulaan perjuangan untuk memburu tempat ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Pasangan yang menghuni ranking No. 85 dunia itu tewas kepada beregu tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping yang merupakan gandingan No. 1 dunia 19-21, 16-21 dalam masa 50 minit pada perlawanan akhir di Shenzen Arena, semalam..

Pang Ron berkata, selepas ini, dia berharap dapat berjuang untuk layak ke Sukan Olimpik dan ia merupakan matlamat utama mereka.

“Kami akan mengorak selangkah demi selangkah, tetapi, dalam masa sama tidak mahu terlalu menekan diri sendiri dan yang paling penting menikmati liku-liku cabaran perjalanan ke sana,” katanya kepada wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam.

Mengulas aksi mereka berdepan Yan Zhe-Dong Ping, pemain berusia 28 itu memberitahu, dia mungkin sedikit gementar ketika menentang beregu handalan China tersebut dan memerlukan sedikit masa bagi menyesuaikan diri dengan permainan.

Bagaimanapun, jelasnya, pada ketika mereka kembali mendapatkan keyakinan, Yan Zhe-Dong Ping semakin memantapkan persembahan sehingga sukar untuk mengatasi pasangan itu.

Sementara itu, Pei Jing pula berkata, jika dilihat prestasi secara keseluruhan, dia gembira dengan persembahan sepanjang berada di Guangdong, walaupun kadangkala mereka berdepan sikap kurang yakin.

“Kami cuba untuk fokus semula dan cuba memenangi semula perlawanan tersebut. Jadi, saya rasa ini adalah mentaliti yang sangat baik untuk kami dan harapnya kami dapat kekalkan momentum ini sehingga ke kejohanan akan datang,” ujarnya.

Tambah Pei Jing, sebagai pemain yang telah lama beraksi, dia masih berdepan isu konsisten dan mungkin menyusun strategi yang lebih baik setiap kali berdepan pencabar yang kuat.

Ketika ditanya mengenai gandingannya bersama Pang Ron selepas lebih tiga bulan berpasangan, anak jati Kuantan, Pahang itu berkata, setiap pasangan mempunyai kekuatan yang berbeza dan sekarang dia cuba fokus kepada diri sendiri serta kerjasamanya dengan Pang Ron.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×