PETALING JAYA: Penampilan penyanyi, Misha Omar dalam imej bertudung yang tular baru-baru ini ternyata mengundang perhatian ramai, khususnya dalam kalangan peminat yang tertanya-tanya mengenai perubahan imej tersebut.
Bagaimanapun, persoalan berhubung penampilan berkenaan terjawab selepas pengurusnya, Salmi Omar, memaklumkan bahawa imej tersebut merupakan permintaan daripada kerajaan negeri Perlis.
“Kami sekadar memenuhi permintaan kerajaan negeri Perlis. Di Perlis memang kena bertudung,” katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, beberapa keping gambar Misha mengenakan tudung mencuri perhatian di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Imej tersebut juga menimbulkan tanda tanya mengenai sama ada penyanyi berkenaan bakal tampil dengan penampilan baharu dalam setiap acara selepas ini. -UTUSAN










