Projek bina semula SMK Bagan Serai siap Januari 2029

Projek bina semula SMK Bagan Serai siap Januari 2029

Projek pembinaan semula bilik guru yang musnah dalam kebakaran pada 2023 di SMK Bagan Serai dijangka siap pada Januari 2029. – Wat Kamal Abas
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Projek pembinaan semula bangunan daif dan terbakar serta bangunan tambahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Serai dijangka siap pada 1 Januari 2029.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, projek berkenaan diluluskan pada 2025 di bawah Rolling Plan Kelima, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Katanya, projek itu merangkumi penggantian bilik guru yang sebelum ini terbakar selain pembinaan 10 bilik darjah bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

“Skop projek ini turut merangkumi bilik-bilik khas yang diperlukan bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan warga sekolah,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurutnya, proses tender bagi projek berkenaan telah dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala pelantikan kontraktor juga telah selesai.

Katanya, Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang dilantik telah dikeluarkan pada 20 Ogos lalu dan tarikh milik tapak diberikan kepada pihak kontraktor adalah pada 1 September lalu. Tempoh kontrak selama 122 minggu dengan tarikh siap dijadual 1 Januari 2029.

Wong berkata, perkembangan itu merupakan berita baik kepada warga SMK Bagan Serai, khususnya selepas bangunan sekolah berkenaan mengalami kebakaran beberapa tahun lalu.

Katanya, kerajaan sememangnya mempunyai banyak projek pembinaan dan pembaikan sekolah seumpama itu bagi memastikan kemudahan pendidikan berada dalam keadaan baik.

“Kita berharap pada 1 Januari 2029, pihak kontraktor yang dilantik oleh JKR akan dapat menyiapkan projek seperti yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan projek berkenaan penting bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan sesuai untuk murid serta warga sekolah.

Katanya, kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap keperluan pembangunan infrastruktur pendidikan, termasuk sekolah yang memerlukan pembinaan semula atau penambahbaikan kemudahan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×