PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), AI Gore mengenai cabaran perubahan iklim dunia terutama tatkala Malaysia sedang berdepan cabaran jerebu susulan kebakaran hutan di Indonesia.
Perdana Menteri berkata, perbincangan tersebut turut menyentuh komitmen serta langkah yang sedang digerakkan Malaysia dalam melaksanakan peralihan tenaga, daripada kebergantungan kepada bahan api fosil kepada sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan.
Beliau berkata, ikhtiar itu selaras dengan iltizam Kerajaan Madani untuk membina sebuah negara yang bukan sahaja progresif dan berdaya tahan dari segi ekonomi, tetapi turut bertanggungjawab dalam memelihara kelestarian alam demi kesejahteraan generasi mendatang.
“Saya turut menyampaikan undangan kepada Al Gore untuk melawat Malaysia dalam masa terdekat bagi meneruskan perbincangan serta meneroka ruang kerjasama yang lebih bermakna dalam mendepani cabaran perubahan iklim dan mempercepat agenda peralihan tenaga negara,” katanya di Facebook, hari ini. – UTUSAN










