MARAN: Hasrat seorang Leftenan Muda Kesatria, Fadhlan Fakhry Solana Mohamad Fellimal, 21, untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah tidak kesampaian apabila meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai Cabaran Ketahanan Komander Kesatria (KKEC) 2026 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Jengka, pada 4 September lalu.
Allahyarham sedang menunggu surat tawaran pengajian ke peringkat ijazah itu namun tidak sempat melihat atau menerimanya selepas menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh kira-kira pukul 2 petang semalam.
Bapanya, Mohamad Fellima Mohd. Sulanah, 50, berkata, Fadhlan Fakhry Solana menamatkan pengajian Diploma Pengurusan Sukan dan Rekreasi di UiTM Kampus Seremban 3 selepas tiga tahun dan berhasrat menyambung pengajian melalui program penerapan.
“Dia baharu sahaja menamatkan pengajian diploma dan memohon untuk sambung ijazah. Tidak silap saya tawaran untuk sambung ke peringkat ijazah ini boleh diakses di laman UiTM bermula hari ini.
“Sebagai bapa, perkara ini sangat menyentuh hati kerana anak saya mempunyai cita-cita dan perancangan untuk masa depannya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HoSHAS, hari ini.
Menurut Mohamad Fellima, Fadhlan Fakhry Solana adalah anak kedua daripada empat beradik lelaki dan sememangnya meminati bidang sukan serta kegiatan unit beruniform sejak di bangku sekolah menengah apabila menyertai Kadet Bomba.
Katanya, minat itu diteruskan ketika di UiTM dan turut aktif dalam kegiatan sukan serta Kesatria sebelum diberi kepercayaan mewakili UiTM Cawangan Negeri Sembilan dalam KKEC 2026.
“Ini kali ketiga dia menyertai cabaran endurance itu dan pada dua edisi terdahulu dia berjaya menamatkan cabaran. Sebelum menyertai acara kali ini, keadaan kesihatannya baik dan dia sudah membuat persediaan secukupnya,” katanya.
Menurutnya, kali terakhir dia berhubung dengan anaknya itu menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira pukul 6.55 petang pada 4 September lalu, sebelum Fadhlan Fakhry Solana menyertai acara berkenaan pada malam itu.
“Dia berjanji menghubungi saya selepas selesai acara. Saya sempat berpesan supaya dia banyak minum air kerana keadaan cuaca panas dan jerebu. Kira-kira pukul 11 malam, saya menerima panggilan daripada pegawai UiTM memaklumkan anak saya dibawa ke Hospital Jengka. Saya dan isteri sangat terkejut,” katanya.
Menurutnya, kira-kira tengah malam, dia menerima panggilan kedua memaklumkan anaknya dipindahkan ke HoSHAS dan segera bertolak dari Shah Alam, Selangor sebelum tiba kira-kira pukul 3.30 pagi.
“Apabila sampai, doktor memaklumkan dia berada di zon merah. Saya hanya dibenarkan melihatnya dari jarak dekat dan ketika itu badannya dipasang banyak wayar. Arwah sudah ditidurkan dan tidak memberikan sebarang reaksi. Doktor memaklumkan dia sedang dirawat bagi kes strok haba,” katanya.
Berdasarkan maklumat yang diterima keluarga, Fadhlan Fakhry Solana hampir menamatkan larian sebelum kelihatan longlai dan hampir rebah ketika menghampiri garisan penamat sebelum dibantu urus setia untuk dibawa ke pusat kesihatan UiTM Jengka.
Lebih memilukan, Mohamad Fellima berkata, anaknya itu baru sahaja ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Kesatria pada 29 Ogos lalu dalam satu majlis di UiTM Shah Alam dan ia menjadi kenangan terakhirnya bersama anaknya apabila beliau sempat bergambar bersama isteri dan Fadhlan Fakhry Solana sebelum arwah berangkat ke UiTM Jengka pada 1 September lalu. – UTUSAN










