KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang digesa mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya bahawa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan pada 2014.
Setiausaha DAP Kuala Lumpur, Lim Lip Eng berkata, dakwaan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu merupakan tuduhan berat dan tidak boleh dibuktikan hanya dengan tepukan di Muktamar Pas.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa ketika itu.
“Saya menuntut jawapan jelas. Jika sudah laporkan, nyatakan bila dan kepada siapa. Jika belum, mengapa kejadian didakwa berlaku 12 tahun lalu tidak dilaporkan?
“Abdul Hadi sudah membuat dakwaan, kini kemukakan bukti. Kedaulatan negara bukan modal ceramah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur menafikan dakwaan bahawa negara itu campur tangan bagi menentukan kepemimpinan politik Malaysia, sambil menyifatkan sebarang tuduhan mengenainya sebagai palsu.
Semalam, Abdul Hadi mendakwa wakil Kedutaan AS pernah bertanya kepadanya mengenai calon Perdana Menteri yang dicadangkan Pas ketika pertemuan di Kedutaan AS di Kuala Lumpur.
Pertemuan itu dikatakan berlaku ketika Pas masih dalam gabungan Pakatan Rakyat dan ketika lawatan bekas Presiden AS, Barack Obama ke Malaysia.
Dalam pertemuan tersebut, Ahmad Samsuri dan Takiyuddin dikatakan tidak terpengaruh biarpun dimaklumkan mengenai kemungkinan menjatuhkan kerajaan dan mengambil alih pentadbiran, selain AS dikatakan bersedia membantu usaha berkenaan.
Sementara itu, Lip Eng berkata, polis perlu mendapatkan keterangan ketiga-tiga pemimpin Pas berkenaan serta mengenal pasti wakil AS yang didakwa menawarkan bantuan terbabit.
Katanya, polis juga perlu menyiasat kemungkinan kesalahan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan jika wujud rancangan menumbangkan demokrasi berparlimen melalui kekerasan atau cara tidak berperlembagaan.
Beliau berkata, Seksyen 118 atau 120 Kanun Keseksaan juga perlu diteliti jika ada pihak secara sengaja menyembunyikan rancangan jenayah untuk membantu pelaksanaannya, atau mengetahui penyembunyian itu mungkin membantu jenayah terbabit.
“Seksyen 176 atau 202 Kanun Keseksaan pula perlu dinilai jika maklumat wajib diberikan, sengaja tidak disampaikan.
“Polis mesti mengumumkan sama ada siasatan dibuka terhadap Abdul Hadi dan pihak lain, serta peruntukan undang-undang digunakan. Jika tiada asas untuk siasatan atau tindakan lanjut, jelaskan sebabnya,” katanya. – UTUSAN









