TEHERAN: Kor Pengawal Revolusi Iran pada Sabtu berkata mereka telah menyerang beberapa kapal, termasuk yang didakwa mempunyai kaitan dengan Amerika Syarikat (AS), sebagai tindakan balas terhadap serangan Amerika ke atas kapal tangki Iran pada hari yang sama.
Merujuk kepada serangan yang berlaku pada sebelah pagi, Kor Pengawal Revolusi berkata, pasukan tentera lautnya kemudian telah menyasarkan tiga kapal tangki minyak yang melalui laluan tidak dibenarkan di Selat Hormuz.
Ia berkata, tiga kapal yang mempunyai kaitan dengan Amerika yang membunuh kanak-kanak di kawasan lain turut diserang sambil memberi amaran kepada kapal-kapal lain supaya tidak cuba melalui laluan yang tidak diluluskan.
Sebelum ini, Teheran berikrar untuk melancarkan serangan balas yang lebih dahsyat terhadap kapal tentera laut AS sekiranya Washington meneruskan serangan terhadap kapal-kapal Iran.
Ikrar itu dibuat beberapa jam selepas Markas Pusat Amerika (CENTCOM) berkata, pihaknya telah memusnahkan tiga kapal tangki Iran.
“Pasukan tentera Amerika yang pengganas itu diberi amaran bahawa jika tindakan jahat, usaha mencetuskan ketidakamanan dan gangguan terhadap kapal-kapal Iran dan sekatan laut berterusan, serangan angkatan bersenjata Republik Islam Iran terhadap kapal-kapal tentera AS di rantau ini akan lebih dahsyat berbanding sebelum ini dan berkemungkinan diperluaskan,” kata Markas Pusat Khatam al-Anbiya. – AFP










