SHAH ALAM: Pengacara, Raja Azura memaklumkan dia tidak sedikit pun terkesan dengan kecaman netizen asalkan tidak membabitkan soal peribadi dan anak-anaknya.
Hos yang mesra disapa Kak Engku itu berkata anak-anak ibarat permata hati dan beliau sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk melindungi mereka dari kecaman netizen.
“Mengenai anak saya sangat sensitif. Saya 18 tahun jadi ibu tunggal, membesarkan anak saya dengan titik peluh saya sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak.
Jadi bila orang petik tentang cara didikan anak itu membuatkan saya hilang sabar. Itu sahaja.
“Bahagian lain memang saya ok sahaja, mereka berhak berkata apa pun. Tetapi jangan sentuh tentang anak.
“Anak adalah permata dan nyawa saya. Mereka boleh bercakap macam-macam, asal tidak hal peribadi dan anak-anak. Seorang ibu sanggup gadai nyawa untuk anaknya,” katanya selepas konsert minggu ketiga Kilauan Emas Selebriti, semalam.
Katanya, dia berbangga dengan dirinya sendiri yang mampu membesarkan anak-anaknya, memberi pendidikan yang cukup tanpa pertolongan pihak lain.
“Saya bangga kerana berjaya membesarkan anak saya, bagi pendidikan tinggi kepada mereka. Tidak lama lagi ketiga-tiga anak saya bakal menggengam ijazah.
“Belum tentu yang mengata itu mampu membesarkan anak seperti saya besarkan anak-anak saya,” katanya lagi.
Raja Azura memaklumkan beliau juga sudah lali dengan kecaman dan kutukan netizen justeru tindakan mereka yang bercakap buruk mengenainya di media sosial dianggap sebagai perbuatan sia-sia.
“Orang mahu berkata apa tentang saya, cakaplah. Saya ini kalis kecaman. Saya tak pernah membalas kecaman mereka.
“Orang korek cerita saya yang lepas. Sehinggakan membuat saya termenung. Saya hanya mampu tersenyum. Saya tak boleh berbuat apa, melawan pun tidak.
“Cuma jangan letak pasir dalam periuk nasi saya, sebab saya tak pernah buat perkara itu kepada orang lain. Itu yang saya takutkan.
“Saya fokus pada kerja sahaja. Bakat yang saya ada ini kurniaan Allah, saya cuma memberi yang terbaik. Pertolongan pun hanya dari Dia.
“Saya diberi amanah untuk menghoskan Kilauan Emas Selebriti. Saya nak lakukan terbaik sehingga program ini selesai,” ujarnya.
Raja Azura juga menganggap tugas mengacarakan Kilauan Emas Selebriti bersama pasangan pengacara, Keanu Azman tidak lebih sebagai tanggungjawab yang perlu digalas dengan sebaiknya.
“Saya fokus pada kerja sahaja. Bakat yang saya ada ini kurniaan Allah, saya cuma memberi yang terbaik. Pertolongan pun hanya dari Dia.
“Saya diberi amanah untuk menghoskan Kilauan Emas Selebriti. Saya nak lakukan terbaik sehingga program ini selesai,” jelasnya.










