Acara sukan perlu ikut garis panduan kerajaan ketika jerebu - Taufiq

Acara sukan perlu ikut garis panduan kerajaan ketika jerebu – Taufiq

KEADAAN jerebu yang melanda Pulau Pinang, baru-baru ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Semua acara sukan, terutama aktiviti di luar, perlu mengikut garis panduan kerajaan ketika jerebu bagi menjaga kesihatan atlet dan orang ramai.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, kementeriannya sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dan mendapatkan maklumat daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta agensi berkaitan.

Katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut bekerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan kesihatan atlet terjaga, terutama ketika mereka membuat persiapan menghadapi Sukan Asia.

“Keutamaan kita ialah kesihatan atlet. Namun, kita juga tidak mahu mengganggu jadual latihan yang sudah ditetapkan.

“Atlet yang menjalani latihan di luar perlu mematuhi garis panduan bagi mengelakkan perkara tidak diingini,” katanya selepas menghadiri majlis Flag Off Oregon Tower Run Series @ The Top Penang, di sini hari ini, mengulas mengenai tindakan perlu diambil penganjuran acara sukan susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.

Mengulas keadaan jerebu di Sarawak, beliau berkata aktiviti luar tidak dibenarkan di kawasan yang mencatatkan IPU tinggi dan berada dalam zon merah.

“Sebagai contoh, Serian kini mencatatkan IPU sangat tinggi dan berada dalam zon merah. Jadi, kita tidak membenarkan sebarang aktiviti luar diadakan di kawasan itu.

“Setiap acara sukan juga perlu mendapat kelulusan kementerian dan keputusan dibuat berdasarkan garis panduan kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata aktiviti sukan masih boleh diteruskan di kawasan yang mencatatkan IPU rendah, selamat atau sederhana. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×