PETALING JAYA: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM1.5 bilion dengan dua syarikat dari China bagi membangunkan rantaian industri baja bersepadu, sekali gus memperkukuh keterjaminan bekalan input pertanian negara.
Kerjasama lima tahun itu melibatkan Guizhou Phosphate Chemical Group Co. Ltd. (GPC) dan Jiangsu Chemical Design Institute Co. Ltd. (CDIJS), dengan tumpuan kepada pembangunan fasiliti pemprosesan bahan mentah baja fosfat, jaminan bekalan bahan mentah jangka panjang, pemindahan teknologi serta pembangunan kepakaran teknikal tempatan.
Menurut Nafas, MoU berkenaan turut merangkumi bidang input pertanian, pembangunan baja, peningkatan produktiviti pesawah, tanaman nanas dan pendigitalan sektor padi.
“Kerjasama ini turut membuka peluang kepada pembangunan industri hiliran baja dan bahan kimia yang lebih mampan serta berdaya saing, sekali gus menyokong usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam usaha memperkasa produktiviti pesawah, Nafas turut menjalinkan kerjasama melalui Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd. (MNFSB) dan Agricultural Chemicals (M) Sdn. Bhd. (ACM) bagi menyediakan pakej input pertanian lengkap.
Nafas Bajakimia Sdn. Bhd. (NBKSB) pula bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk membangunkan Controlled Release Fertilizer (CRF) Baja Super Durian Peladang, termasuk menilai keberkesanannya terhadap pertumbuhan tanaman dan kualiti hasil.
Bagi sektor nanas, NAFAS Agri Services Sdn. Bhd. (NASSB) bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bagi membangunkan pakej pembajaan dan formulasi baja khusus untuk varieti MD2 dan SG1.
Nafas turut bekerjasama dengan Meraque Services Sdn. Bhd. bagi memperkukuh pendigitalan ekosistem penanaman padi.
Keseluruhannya, lapan MoU dan Memorandum Perjanjian (MoA) dimeterai Nafas sempena MAHA 2026 membabitkan anggaran nilai pelaburan RM1.977 bilion dalam pelbagai bidang strategik ekosistem agromakanan negara. – UTUSAN









