LARUT: Polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes kecurian seutas rantai emas bernilai kira-kira RM36,500 dari sebuah kedai emas di Batu Kurau, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Selama, Superintenden Ramzi Mahmud, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 3.15 petang, 3 September lalu.
Menurut beliau, siasatan mendapati suspek telah mengunjungi premis berkenaan sebanyak dua kali, masing-masing pada 2 dan 3 September lalu, sebelum menyamar sebagai pelanggan dan melarikan barang kemas terbabit.
“Hasil siasatan dan tindakan pantas, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan pada awal pagi 4 September lalu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Suspek direman selama empat hari bermula 4 hingga 7 September ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan lanjut turut dijalankan dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, yang membawa kepada rampasan beberapa barangan dipercayai berkaitan kes berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – UTUSAN









