JOHOR BAHRU: Hospital Sultanah Aminah (HSA) sedang menyiasat dakwaan berlaku gangguan seksual melibatkan seorang pakar perubatan di Jabatan Anestesiologi, hospital berkenaan.
Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dalam satu kenyataan berkata, pengurusan hospital telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Siasatan bagi menjalankan siasatan dalaman berhubung laporan yang diterima, 28 Ogos lalu.
Katanya, siasatan itu berhubung laporan sebuah portal mendakwa terdapat pihak meminta pengadu menarik semula laporan salah laku gangguan seksual berkenaan.
“Siasatan kini sedang dilengkapkan sebelum tindakan lanjut diambil mengikut garis panduan dan tatacara ditetapkan. Pihak hospital tidak berkompromi terhadap usaha menyembunyikan, menyekat, menekan atau menghalang mana-mana warga kerja daripada membuat laporan berhubung dakwaan gangguan seksual.
“Laporan siasatan dalaman sedang dilengkapkan dan akan diurus selanjutnya mengikut garis panduan dan tatacara yang sedang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
Tambah JKNJ, pihaknya bersama HSA komited memastikan keadilan kepada semua pihak serta ketelusan dan integriti proses siasatan dipelihara pada setiap peringkat bagi menyediakan persekitaran tempat kerja yang selamat dan profesional serta bebas daripada gangguan, intimidasi atau salah laku.-UTUSAN










