MUMBAI: Pemandu teksi dan beca bermotor (tuk-tuk) di Maharashtra diberi tempoh tambahan setahun untuk mempelajari bahasa Marathi selepas peraturan mewajibkan mereka menguasai bahasa rasmi negeri itu mencetuskan bantahan.
Pegawai pengangkutan negeri berkenaan mula menguji kemampuan pemandu berkomunikasi dalam bahasa Marathi pada 20 Ogos lalu.
Pemandu yang gagal ujian sebelum ini diberikan tempoh sebulan untuk mempelajari bahasa berkenaan, sebelum lesen mereka berdepan risiko digantung atau dibatalkan.
Kerajaan berkata, penguasaan bahasa Marathi penting bagi memudahkan komunikasi antara pemandu dan penumpang, selain meningkatkan keselamatan perjalanan.
Bagaimanapun, kesatuan pemandu membantah peraturan itu kerana bimbang pekerja kehilangan mata pencarian sekiranya gagal menguasai bahasa berkenaan dalam tempoh ditetapkan.
Sebahagian besar pemandu terbabit adalah pendatang dari negeri lain yang berhijrah ke Maharashtra untuk mencari pekerjaan, termasuk Uttar Pradesh dan Bihar yang majoritinya menggunakan bahasa Hindi.
Susulan bantahan itu, kerajaan negeri memutuskan untuk memberi pemandu tempoh tambahan setahun bagi mempelajari bahasa Marathi sebelum tindakan terhadap lesen mereka dikenakan.
Ketua Menteri Maharashtra, Devendra Fadnavis, minggu lalu mengumumkan pemandu terbabit akan diberi tempoh tambahan setahun untuk mempelajari bahasa Marathi.
Beliau berkata, ramai pemandu sudah bertahun-tahun tidak mengikuti pendidikan formal dan memerlukan lebih banyak masa untuk menguasai bahasa berkenaan.
Menteri Pengangkutan negeri, Pratap Sarnaik, berkata pemandu dijangka menggunakan tempoh setahun itu untuk mempelajari bahasa Marathi, selain tidak menolak kemungkinan tempoh berkenaan dilanjutkan.
Maharashtra mempunyai hampir 979,000 permit teksi dan tuk-tuk yang masih sah, dengan hampir separuh daripadanya beroperasi di kawasan metropolitan Mumbai.
Pelanjutan tempoh itu sedikit sebanyak melegakan pemandu yang sebelum ini bimbang kehilangan mata pencarian.
“Kami bimbang pendapatan harian akan terjejas sekiranya lesen digantung. Kini kami agak lega,” kata pemandu teksi di Mumbai, Lakhan Pandey.
Ketegangan berhubung isu itu bermula sejak penubuhan Maharashtra pada 1960 selepas kempen panjang untuk mewujudkan sebuah negeri berbahasa Marathi.
Seiring perkembangan Mumbai sebagai pusat kewangan India, bandar itu menarik generasi pendatang dari seluruh negara yang datang mencari pekerjaan.
Keadaan itu menyebabkan isu bahasa semakin berkait rapat dengan perdebatan mengenai peluang pekerjaan dan kepentingan penutur bahasa Marathi.










