Bot nelayan tawar pengalaman percutian eksklusif di Scotland

Bot nelayan tawar pengalaman percutian eksklusif di Scotland

SEBUAH bot nelayan kayu dan sebuah kapal layar belayar merentasi teluk berlatarkan tebing-tebing batu. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELANCONGAN di sepanjang pesisir Scotland yang selama ini didominasi kapal persiaran gergasi kini menyaksikan perubahan besar apabila sekumpulan bot nelayan mula menawarkan pengalaman pelayaran mewah serta lebih eksklusif ke lokasi terpencil dan sukar dicapai.

Kapal kecil yang membawa tidak lebih 12 penumpang kini semakin mendapat sambutan kerana mampu menyusuri laluan sempit, berlabuh berhampiran pantai terpencil dan membawa pelancong lebih dekat dengan alam semula jadi serta komuniti setempat.

Keistimewaan itu berpunca daripada peraturan maritim Scotland yang menetapkan kapal dengan kapasiti sehingga 12 penumpang tidak diklasifikasikan sebagai kapal persiaran, sekali gus tidak tertakluk kepada syarat dan kos operasi tinggi yang sama.

Peluang itu dimanfaatkan pada 1990-an apabila pengusaha, Rob Barlow dari Oban mula membangunkan pengalaman pelayaran berskala kecil yang memberi tumpuan kepada kawasan sukar diakses di pesisir Scotland.

Pada 1996, keluarganya melancarkan Hebrides Cruises menggunakan Elizabeth G, sebuah kapal penyelamat Norway yang diubah suai dan mampu membawa 12 penumpang.

Saiznya yang kecil membolehkan kapal itu memasuki laluan sempit seperti Loch Spelve di Isle of Mull, berlabuh berhampiran pantai berpasir di Pulau Muck serta bermalam berhampiran Kepulauan Monach yang tidak berpenghuni.

Beberapa pengusaha lain kemudian mengikuti jejaknya, termasuk Argyll Cruising, Skarv Lines dan The Majestic Line yang mengubah suai bot nelayan lama menjadi kapal persiaran kecil dengan kabin peribadi, ruang makan dan tingkap panorama unik.

Ketika menghampiri banjaran pergunungan Highlands, kapal-kapal itu terus bergerak sebelum memasuki sebuah laluan air sempit, sesuatu yang mustahil dilakukan kapal persiaran bersaiz besar.

Kesemua penumpang akan disambut dengan pemandangan seekor memerang yang sedang bersantai di tebing berbatu.

Kemudahan seperti restoran bufet yang sinonim dengan kapal persiaran besar pula digantikan dengan aktiviti bergaya ekspedisi, hidangan bersama berasaskan hasil segar Scotland dan peluang menangkap ikan tenggiri bersama kru untuk dijadikan santapan pada hari sama.

“Saya menikmati bentuk kemewahan yang berbeza ini. Kru mengenali nama kami, tahu kami sukakan teh dan berkongsi kegembiraan apabila melihat hidupan liar. Ia pengalaman kecil yang sangat istimewa,” kata penumpang veteran, Stewart Norton.

Kelebihan kapal bersaiz kecil juga membolehkan kapten kapal bertindak pantas untuk menukar haluan apabila mengesan hidupan liar serta mengubah lokasi berlabuh pada waktu malam.

Keadaan itu membolehkan pelancong melihat dengan lebih dekat pelbagai hidupan marin Scotland, termasuk kawanan ikan lumba-lumba, ikan paus serta orca, selain memerang, rusa merah dan tupai merah berbulu lebat.

“Ia seperti menonton dokumentari televisyen yang hebat, cuma kali ini anda sendiri menjadi sebahagian daripadanya.

“Kapal kecil boleh memasuki ceruk dan laluan sempit yang tidak mampu dicapai kapal besar serta membawa anda ke pemandangan terpencil yang sukar dinikmati dengan cara lain,” kata peminat pelayaran kapal kecil, Will Tunnell.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×