Rapat itu tidak semestinya boleh jadi ‘bridesmaid’ saya, mereka pun sibuk dengan komitmen lain - Bella Astillah - Utusan Malaysia

Rapat itu tidak semestinya boleh jadi ‘bridesmaid’ saya, mereka pun sibuk dengan komitmen lain – Bella Astillah

bella
BELLA ASTILLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, menjelaskan tiada siapa yang berkecil-hati dengan pemilihan pengapit pengantin perempuan atau ‘bridesmaid’ bagi pihaknya kerana masing-masing sudah dewasa dan ada komitmen kerja tersendiri.

Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, berkata, dia sudah menghubungi beberapa rakan baiknya untuk menjadi bridesmaid tetapi ada antara mereka tidak dapat menyertainya kerana sibuk dengan komitmen kerja pada hari bahagianya nanti.

“Sebenarnya ada yang Bella sudah hubungi pun tapi tak dapat nak buat. Jadi perkara-perkara ini di sebalik itu orang tidak nampak.

“Ada yang ada komitmen lain, ada yang tak dapat datang dan ada yang hanya boleh datang pada waktu majlis,” katanya.

Bella berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Majlis Pelancaran TRUEDAN Malaysia, di IOI City Mall, Putrajaya, hari ini.

Kata penyampai radio 3 pagi Era ini, hubungan rapat dengan seseorang itu tidak bermaksud mereka wajib menjadi pengapit pengantin perempuan bagi pihaknya.

“Pada Bella, semua kawan-kawan Bella memang Bella rapat. Tapi, rapat itu tak semestinya dia orang wajib jadi pengapit pengantin perempuan sampai kita lupa dia orang pun ada tanggungjawab lain.

“Jadi Bella hormat sahaja. Yang jadi pengapit pengantin perempuan Bella sekarang pun memang baik dengan Bella.

“Individu-individu lain yang Bella pun tak tahu siapa yang dimaksudkan tapi semuanya InsyaAllah memang Bella jemput. Dia orang tak dapat nak jadi pengapit pengantin perempuan sebab sibuk dengan kehidupan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Bella mengakui terkejut apabila perkara itu dipersoalkan kerana baginya, pemilihan pengapitnya bukan berdasarkan populariti semata.

“Bella terkejut bila dipersoalkan sebab Bella rasa pengapit pengantin perempuan ini macam Bella cakaplah, dia tidak hanya menekankan kepada bila kita nak kahwin, kita kena ada bridesmaid yang popular.

“Macam Bella cakap, sebenarnya dalam itu ada juga rakan-rakan Bella yang memang pelakon. Tapi ada juga adik Bella sendiri.

“Bella pun pernah ada rakan artis yang kahwin tapi Bella tak dapat nak jadi bridesmaid atas dasar jadual kerja Bella. Jadi samalah macam rakan-rakan artis Bella yang lain,” ujarnya.

Mengulas dakwaan wujud pihak yang terasa hati, Bella menegaskan perkara itu tidak berlaku kerana masing-masing sudah dewasa dan mendoakan antara satu sama lain.

“Alhamdulillah sebab Bella rasa di usia sekarang kita semua ini fokus pada nak cari rezeki untuk kehidupan masing-masing. Dah tak adalah istilah macam itu.”

“Bella percaya kita semua dah dewasa. Kita lebih kepada mendoakan bila tengok orang lain bahagia,” katanya.

Terdahulu, menerusi satu hantaran di Threads miliknya, Bella berkongsi alasan memilih sembilan orang terdekat yang bakal bertindak sebagai pengapit pengantin perempuan untuk hari perkahwinannya yang dijadualkan Oktober ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×