GEORGE TOWN: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengemukakan 11 inisiatif kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027 dengan industri semikonduktor antara sektor yang diberi keutamaan.
Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata, tumpuan itu penting bagi melonjakkan industri berkenaan ke tahap pertumbuhan dan nilai lebih tinggi selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
Katanya, antara permohonan utama MITI ialah supaya kerajaan meningkatkan pelaburan secara aktif dalam industri semikonduktor menerusi peruntukan yang lebih besar.
“Kita mahu merancakkan industri semikonduktor kerana kita mahu memberi tumpuan kepada sektor yang mempunyai pertumbuhan dan nilai tinggi serta mampu mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
“Jadi, salah satu permohonan besar yang kita kemukakan ialah supaya kerajaan dapat melabur secara aktif dalam industri semikonduktor dengan peruntukan yang lebih besar,” katanya selepas merasmikan Program Madani Kita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Nibong di sini, hari ini.
Tze Tzin yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata, pada masa yang sama. MITI turut mencadangkan peruntukan bagi membantu syarikat tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meneroka pasaran baharu di luar negara yang masih kurang ditembusi.
Katanya, antara kawasan yang dikenal pasti mempunyai potensi besar ialah Asia Tengah termasuk Kazakhstan dan Uzbekistan selain usaha memperluas pasaran eksport produk buatan Malaysia.
“Kita mahu membawa barangan dan produk buatan Malaysia ke luar negara. Jadi, kita memohon kerajaan memberi peruntukan untuk membawa syarikat kita ke negara-negara yang kurang kita tembusi seperti Kazakhstan dan Uzbekistan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, MITI turut mengemukakan cadangan bagi memperluas program peningkatan teknologi industri supaya syarikat tempatan mampu beralih daripada aktiviti bernilai rendah kepada aktiviti bernilai tinggi.
”Kita ada program yang menggalakkan industri meningkatkan teknologi dan menaik taraf keupayaan mereka kerana industri kita memerlukan lonjakan daripada aktiviti bernilai rendah kepada bernilai tinggi,” katanya.
Menurutnya, 11 inisiatif berkenaan meliputi program baharu serta penambahbaikan terhadap program sedia ada manakala inisiatif yang bersifat berterusan akan tetap dilaksanakan. – UTUSAN










