PETALING JAYA: Seramai 26,457 pelajar baharu yang berjaya melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Awam (UA) dan Politeknik bagi sesi September 2026 ditawarkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) sebanyak RM1,500 setiap seorang.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata, pemberian itu melibatkan peruntukan keseluruhan RM39.7 juta bagi membantu menampung sebahagian kos persediaan awal kemasukan pelajar ke UA dan Politeknik.
Katanya, kemudahan berkenaan dapat meringankan beban kewangan keluarga serta membantu pelajar memulakan pengajian dalam keadaan lebih bersedia dan teratur.
“WPP diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang bersetuju menerima kemudahan itu ketika membuat permohonan kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui UPUOnline atau portal kemasukan UA.
“Selain itu, ibu bapa atau penjaga pelajar perlu merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.
Sejak WPP diperkenalkan pada 1999 hingga 31 Julai lalu, lebih sejuta pelajar telah menerima manfaat kemudahan tersebut membabitkan peruntukan keseluruhan RM1.48 bilion.
Dalam pada itu, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya terus komited memperkukuh agenda pendidikan tinggi dengan memastikan akses kepada pembiayaan pendidikan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang serta kedudukan sosioekonomi.
“Seiring dengan aspirasi tersebut, WPP PTPTN merupakan antara inisiatif strategik yang dilaksanakan bagi menyediakan sokongan kewangan awal kepada pelajar.
“Ia membantu meringankan beban kewangan keluarga dalam membuat persiapan dan memenuhi keperluan asas sebelum pelajar memulakan pengajian di UA dan Politeknik,” katanya.
Menurut PTPTN, pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan menunaikannya di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 4 September lalu.
Katanya, pelajar perlu membawa surat tawaran WPP dan MyKad ketika membuat tuntutan, manakala wakil tidak dibenarkan berbuat demikian.
“Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan bermula 4 September hingga 3 November ini.
“Bagi pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN pula, mereka boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap UA dan Politeknik.
“Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN juga perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN,” katanya. – UTUSAN










