Kebakaran Indonesia lepaskan lebih 23 juta tan karbon 

Kebakaran Indonesia lepaskan lebih 23 juta tan karbon 

INDONESIA menutup Taman Negara Bromo Tengger Semeru akibat kebakaran. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kebakaran hutan dan tanah di Indonesia melepaskan lebih 23 juta tan metrik karbon antara 28 Ogos dan 3 September, melebihi jumlah yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2015 ketika fenomena El Nino kuat.

Menurut portal Pemantauan Pelepasan Kebakaran (CAMS), pelepasan karbon itu mengatasi 20.7 juta tan metrik yang direkodkan daripada kebakaran pada tempoh sama 2015.

Saintis kanan CAMS, Mark Parrington, berkata pelepasan daripada kebakaran kini menunjukkan tahap ekstrem yang setanding dengan tahun-tahun El Nino kuat sebelum ini, selain memberi kesan ketara terhadap kualiti udara akibat asap dan jerebu.

Kebakaran yang berlaku sejak beberapa minggu lalu turut menyelubungi sebahagian kawasan Indonesia dengan jerebu tebal, manakala asap dilaporkan bergerak merentasi sempadan ke Malaysia, Singapura dan Filipina.

Hampir 300,000 hektar tanah terbakar di Indonesia sejak awal tahun ini, menurut anggaran bebas portal Nusantara Atlas, dengan kebanyakan kebakaran tertumpu di Borneo dan Sumatera.

Penganalisis berkata, fenomena El Nino, yang dijangka menjadi antara paling kuat dalam tempoh empat dekad, menyumbang kepada keadaan lebih kering di Indonesia dan memudahkan kebakaran merebak.

Pengasas Nusantara Atlas, David Gaveau, berkata El Nino bukan punca kebakaran, sebaliknya keadaan kering yang dicetuskannya membolehkan kebakaran akibat aktiviti manusia merebak dengan lebih besar.

Beliau berkata, amalan pembukaan tanah menggunakan kaedah tebang dan bakar turut menyumbang kepada kemusnahan akibat kebakaran.

Kebakaran juga sukar dipadamkan kerana banyak berlaku di kawasan tanah gambut, yang menyimpan sejumlah besar bahan organik dan menjadi mudah terbakar apabila kering.

NGO Pantau Gambut melaporkan lebih 210,000 titik panas dikesan di kawasan gambut di seluruh Indonesia antara Januari dan Ogos tahun ini.

Kesan jerebu turut menjejaskan penduduk dan sistem pendidikan apabila lebih lima juta orang di Borneo dan Sumatera terdedah secara langsung kepada risiko kesihatan akibat pencemaran udara, manakala lebih 1.4 juta pelajar mengikuti kelas secara dalam talian susulan penutupan sekolah.

Di Sarawak, peningkatan pencemaran udara mendorong kerajaan mengisytiharkan darurat, dengan hampir 650 sekolah ditutup minggu depan. Jerebu turut menyebabkan beberapa kawasan di Filipina dan Singapura mencatat tahap kualiti udara tidak sihat.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×