Puisi ialah bait kata kata indah yang disusun dalam satu rangkap panjang menghuraikan suara hati, perasaan dan apa juga yang terbuku di kotak minda untuk dikongsi kepada orang ramai. Sebab itu, maksud puisi biasanya hanya diketahui oleh pengkarya berkenaan sementara orang lain hanya mentafsirkannya mengikut pengalaman dan kedalaman ilmu masing masing.
Ada banyak pernyataan perasaan itu sama ada kasih sayang, pemberontakan, cinta kepada sesuatu dan luahan tulus di sebalik bait-bait perkataan dalam pelbagai versi sama ada berterus terang atau secara perbandingan.
Hal yang sama apabila menyentuh isu mengenai puisi yang mempunyai tema atau perkara pokok yang dipuisikan.
Apabila Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) baru-baru ini, maka khalayak sudah tentunya maklum, kata kunci kemerdekaan atau kebebasan menjadi tema puisi yang disampaikan.
Penganjuran kali ini adalah yang ke-40. SDPK ke-40 kali ini dianjurkan oleh (GAPENA) dengan kerjasama oleh Kerajaan Negeri Sarawak, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) dan 20 badan gabungan GAPENA seluruh Malaysia.
Berdasarkan sejarah dan latar belakang program penganjuran, mulai 1987, Jawatankuasa Sambutan Bulan Kemerdekaan (JSBK), Jabatan Perdana Menteri, bersetuju Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan (SDPBK), menjadi salah satu acara perayaan bulan kemerdekaan di peringkat negeri dan kebangsaan.
Maka bagi menyelenggarakan acara berkenaan, GAPENA diberi mandat oleh JSBK untuk menganjurkannya di peringkat negeri dan kebangsaan. Bagi menjayakan acara tersebut, GAPENA bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kebudayaan dan Kesenian, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pelbagai agensi kerajaan.
Penganjurannya bertujuan menanamkan rasa cinta dan semangat patriotik terhadap tanah air.

Penganjuran sayembara ini telah meluas bukan sahaja di negeri-negeri, malah termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) , Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan universiti awam.
Sambutan yang diterima amat membanggakan dan telah melahirkan ribuan deklamator di seluruh negara.
Pada 2006, penganjuran SDPK dikelolakan bersama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKWA) sebelum ini hingga 2009. Pada 2010, atas kesedaran semangat patriotik dan memartabatkan sastera tanah air, GAPENA bersetuju meneruskan SDPBK dengan kemampuan yang terbatas dalam format yang sama dan menamakan program tersebut sebagai SDPK, peringkat negeri dan kebangsaan.
Sayembara tersebut bertujuan meneguhkan perpaduan kaum melalui pengucapan puisi, memperkasakan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sebagai sebahagian program perayaan Bulan Kebangsaan maka, deklamasi puisi amat signifikan. Sayembara di peringkat negeri bermula 1 Julai hingga 4 Ogos lalu.
Pada program kali ini seramai 17 orang peserta mewakili negeri Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan) termasuk ATM dan PDRM bertanding dalam peringkat akhir yang diadakan di Kuching, Sarawak.
Semua peserta yang bertanding di peringkat kebangsaan mendeklamasikan puisi daripada teks Antologi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah-Sekolah Menengah: Atma Berdaulat terbitan GAPENA tahun 2026.
Sayembara kali ini dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan turut dihadiri Presiden GAPENAm Datuk Zainal Abidin Borhan.
Dalam pada itu, semasa perasmian penganjuran peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan, Presiden PENA, Dr. Saleeh Rahamad berkata, penganjuran sayembara itu menjadi wadah menyemarakkan semangat kebangsaan melalui seni, di samping memupuk kefahaman terhadap peranan sastera dalam pembinaan negara bangsa.

“Sempena Hari Kebangsaan pada setiap tahun perlu ada satu usaha untuk membugar semangat itu dalam bentuk seni yang halus. Jadi, ini matlamat utama apabila masa beredar, generasi muda pun muncul.


“Mereka juga tidak boleh dikesampingkan untuk benar-benar faham bahawa sastera juga mempunyai fungsinya dalam pembinaan negara bangsa dan melahirkan rakyat yang patriotik serta nasionalis,” katanya dalam majlis perasmian sayembara itu di Rumah PENA di ibu negara.
Menurut Pengarah DBP Wilayah Tengah, Nurul Julia Alani Henry pula, kemerdekaan bukan hanya dikenang melalui sejarah tetapi mesti terus dihidupkan melalui pemikiran bahasa dan budaya.

“Selagi bahasa Melayu dimartabatkan, selagi itulah roh kemerdekaan akan terus berdenyut dalam jiwa rakyat,” katanya.
Kemuncaknya, Khalid Husseine Tuah, peserta yang mewakili Sarawak telah diumumkan sebagai juara SDPK Ke-40, tahun 2026.

Majlis Penyampaian Hadiah SDPK itu juga diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Hazami Jahari; Presiden GAPENA Datuk Zainal Abidin Borhan; Ketua Pegawai Eksekutif MSS, Dr. Suffian Haji Jalet, dan Presiden PEKASA, Dayang Azizah Mohd. Salleh.-UTUSAN









