Ketepi ego demi penyatuan ummah

Ketepi ego demi penyatuan ummah

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 PETALING JAYA: Usaha menyatukan kekuatan politik Melayu-Islam menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) menuntut pengorbanan besar semua pihak termasuk mengetepikan ego, emosi serta kepentingan peribadi dan kelompok.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Selangor, Dr. Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, pengorbanan itu perlu dilakukan bagi memastikan agenda penyatuan ummah benar-benar dapat diterjemahkan dan tidak sekadar menjadi slogan.

Katanya, penyatuan menuntut semua pihak berlapang dada dan bersedia mengetepikan perbezaan demi mempertahankan serta memperkukuh kuasa politik Melayu-Islam.

“Pengorbanan ego, emosi dan perbezaan ini sememangnya suatu perkara yang besar dan berat.

“Namun, ia adalah harga yang wajib kita bayar demi mempertahankan serta memperkukuh kuasa politik Melayu-Islam menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 yang meluluskan sebulat suara usul ‘Memperkasa Agenda Penyatuan Ummah ke Arah Pengukuhan Kekuatan Politik Melayu-Islam dan Kestabilan Negara’ yang dibawa Dewan Ulamak Pas Pusat.

Aubidullah berkata, Pemuda Pas Selangor menyambut baik dan menyokong penuh ketetapan berkenaan yang disifatkan bukan semata-mata sebagai strategi menghadapi pilihan raya.

Sebaliknya, katanya, agenda tersebut merupakan satu kewajipan bagi menjamin kelangsungan agama, bangsa dan tanah air.

“Tanpa pengorbanan ini, penyatuan hanya akan tinggal sekadar slogan kosong. Kita wajib belajar dan mengambil iktibar daripada sejarah.

“Sejarah Tanah Melayu sendiri telah merakamkan bahawa apabila tiba saat-saat genting yang menyentuh soal masa depan dan kelangsungan bangsa, masyarakat Melayu sentiasa mampu meminggirkan perbezaan pandangan untuk duduk semeja,” katanya.

Menurut beliau, perkara itu dapat dilihat menerusi kebangkitan masyarakat Melayu menentang gagasan Malayan Union pada 1946 yang menghimpunkan puluhan pertubuhan, persatuan dan kelompok Melayu daripada pelbagai latar belakang serta fahaman.

Katanya, ketika itu mereka mampu bergerak di atas satu platform kerana mempunyai matlamat agama dan bangsa yang dianggap lebih besar berbanding kepentingan organisasi masing-masing.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli Pas, golongan muda dan umat Islam menghayati semangat Kongres Melayu 1946 dengan mengetepikan perbezaan serta merapatkan saf menjelang PRU16.

“Kuasa politik Melayu-Islam ini terlalu mahal nilainya untuk dibiarkan lebur akibat perpecahan sesama kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×