PETALING JAYA: Pesawah mahu membawa isu kelewatan bekalan baja ke mahkamah berhubung kegagalan pengurusan bahan iti yang menyebabkan petani mengalami kerugian kira-kira RM2,800 bagi setiap hektar.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob berkata, tindakan undang-undang akan diambil bagi mendapatkan penyelesaian terhadap masalah yang didakwa menjejaskan pendapatan dan kelangsungan hidup pesawah.
Katanya, beberapa pihak sudah tampil menawarkan bantuan dan pihaknya kini sedang mengemas kini maklumat yang diperlukan bagi membantu pesawah membawa kes tersebut ke mahkamah.
“Kita akan membuat tuntutan melalui perundangan dan setakat ini, ada beberapa pihak yang tampil untuk membantu kita dalam proses tersebut.
“Sekarang ini, kita dalam proses mengemas kini maklumat-maklumat untuk dibawa kepada pihak yang ingin membantu pesawah membawa kes ini ke mahkamah, khususnya terhadap kementerian sendiri disebabkan kegagalan pengurusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, kegagalan tersebut memberi kesan terhadap kewangan dan pendapatan petani yang sudah sedia terbeban dengan keadaan semasa.
Katanya, keadaan itu turut diburukkan dengan isu kualiti baja yang tidak memuaskan sehingga menambah beban yang perlu ditanggung pesawah.
“Itu yang kita rasa perlu diambil satu tindakan supaya perkara ini tidak dipandang sambil lewa. Untuk masa akan datang, perkara seperti ini bukan ‘trial and error’.
“Ia satu perkara yang penting kerana melibatkan kepentingan awam dan kepentingan ramai.
“Ia juga melibatkan Kadar Sara Diri (SSL) negara, selain kepentingan dan kebajikan masyarakat yang perlu dibela,” katanya. – UTUSAN










