Lonjakan pelancongan Kuala Perlis beri limpahan ekonomi buat rakyat - Raja Perlis - Utusan Malaysia

Lonjakan pelancongan Kuala Perlis beri limpahan ekonomi buat rakyat – Raja Perlis

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail (dua dari kanan) berkenan menyempurnakan gimik perasmian Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 dengan disaksikan Abu Bakar Hamzah (kiri) di Dataran Kampung Wai, Perlis malam tadi-UTUSAN/JABATAN PENERANGAN PERLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berharap pembangunan pelancongan di Kuala Perlis dapat memberikan limpahan ekonomi secara langsung kepada rakyat.

Baginda bertitah, limpahan tersebut khususnya adalah melalui peluang perniagaan, peningkatan pendapatan serta penglibatan usahawan dan komuniti tempatan.

Selain itu, baginda juga berharap aspek kebersihan, keselamatan dan kelestarian alam sekitar di kawasan itu sentiasa diberikan perhatian.

“Sungai, muara dan perairan Kuala Perlis merupakan khazanah bersama yang perlu dijaga agar terus indah dan lestari. Penglibatan komuniti kampung dalam acara perahu tradisional juga amat beta hargai.

“Rakyat hendaklah terus menjadi pemilik, penggerak dan penerima manfaat daripada pembangunan pelancongan negeri,” titah baginda merasmikan Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 di Dataran Kampung Wai, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah.

Baginda seterusnya berharap agar penganjuran pesta air berkenaan turut menjadi platform memperkenalkan makanan, kraf, seni budaya serta hasil komuniti Perlis kepada pengunjung dari dalam mahu pun luar negara.

“Segala khazanah alam, sejarah, budaya dan keunikan masyarakat Perlis hendaklah diketengahkan dengan bijaksana agar menjadi kekuatan dan identiti pelancongan negeri,” titah baginda.

Baginda bertitah, sambutan Pesta Air Kuala Perlis pada tahun lalu berjaya menarik 50,000 pengunjung dan membuktikan bahawa acara berteraskan budaya dan warisan mempunyai daya tarikan besar serta berpotensi merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi.

“Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis mempunyai nilai sejarah dan warisan yang tersendiri. Tradisi perlumbaan perahu, kehidupan masyarakat nelayan serta hubungan rakyat dengan sungai dan laut merupakan sebahagian daripada identiti Kuala Perlis yang wajar dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×