Serian diisytihar darurat, bacaan IPU lebih 500

Serian diisytihar darurat, bacaan IPU lebih 500

PEMANDANGAN Serian, Sarawak yang diisytihar darurat ekoran bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 500. – BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan pengisytiharan darurat di seluruh Serian, Sarawak berikutan keadaan jerebu mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.

Perkara itu bermakna semua aktiviti luar, sukan dan kerja-kerja pembinaan dihentikan serta-merta manakala pejabat sektor awam serta swasta ditutup kecuali perkhidmatan penting bagi mengelakkan risiko kesihatan kronik.

Pejabat Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta agensi berkaitan mengenai tahap kualiti udara di kawasan berkenaan.

“Langkah-langkah yang perlu secara lebih berkesan akan diambil bagi melindungi kesihatan serta kebajikan penduduk yang terjejas.

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa dan memastikan segala tindakan yang diperlukan dilaksana dengan segera.

“Ia termasuk langkah mitigasi serta penyampaian maklumat dan nasihat kesihatan kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan.

Sehingga pukul 6 petang semalam, kualiti udara di Serian, Sarawak terus berada pada tahap bahaya apabila stesen pemantauan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 518.

Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Kuching turut mencatatkan bacaan pada tahap bahaya iaitu 310.

Dua lagi kawasan di Sarawak berada pada tahap sangat tidak sihat iaitu Samarahan dengan bacaan 281 dan Sri Aman (245).

Sebelum ini, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Douglas Uggah Embas berkata, darurat jerebu boleh diisytiharkan di daerah yang merekodkan bacaan IPU mencecah 500 dengan pejabat sektor awam serta swasta akan ditutup kecuali perkhidmatan penting.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200) dan sangat tidak sihat (201-300), manakala IPU melebihi 300 dikategorikan berbahaya.

Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan bacaan daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.

Berdasarkan maklumat sebelum ini, IPU melebihi 500 dianggap tahap pencemaran amat ekstrim dan boleh membawa kepada tindakan kecemasan serta-merta oleh pihak berkuasa, bergantung pada keadaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×