Kalau amanah, jangan takut disiasat – PM­

Kalau amanah, jangan takut disiasat – PM­

ANWAR Ibrahim melambai ke arah jemaah ketika beredar selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah, Ampang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Pemimpin yang menjalankan amanah dengan bersih tidak perlu gusar terhadap sebarang siasatan atau tindakan penguatkuasaan termasuk oleh Suruhanjaya Pencegahan ­Rasuah Malaysia (SPRM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seba­rang tindakan SPRM, Polis Di­raja Malaysia (PDRM) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak seharusnya menjadi se­suatu yang ditakuti sekiranya seseorang individu itu tidak me­lakukan sebarang ke­salahan. 

Beliau berkata, usaha membanteras rasuah bukan bertujuan menekan mana-mana pi­hak sebaliknya penting bagi memastikan tadbir urus negara dilaksanakan secara telus dan berintegriti. 

“Hal ini kerana kerajaan tidak boleh membiarkan amalan ra­suah dan salah guna kuasa terus berleluasa di negara.

“Jangan gusar. Orang yang ada amanah, yang bersih, tidak harus takut dengan langkah-langkah diambil oleh SPRM mahu pun PDRM atau LHDN,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah, di sini semalam. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu te­lah mendapat sokongan semua pihak khususnya Jemaah Menteri dan beliau akan meneruskan usaha tersebut.

Tambahnya, beliau mahu agensi terlibat menjalankan kerja dengan berhemah dan adil bukannya menekan mana-mana pihak seperti ditohmah.

“Ada bukti, teruskan. Tiada bukti, lepaskan. Tetapi saya hendak tegaskan, selagi saya pegang amanah ini dan sudah sampai, kita ambil pendirian yang tegas. 

“Masyarakat Melayu, Cina, India, dari Sabah atau Sarawak, ini bukan soal kaum. Ini soal selamatkan negara. Bukan nak selamatkan kedudukan, bukan selamatkan kumpulan. 

“Walaupun saya hadapi risiko atau tekanan, Insya-Allah saya minta rakyat doa kita dapat teruskan dan bersihkan negara ini,” katanya.

Mengulas cadangan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) lebih awal, Anwar berkata, kerajaan mahu memastikan usaha membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta agenda kesejahteraan rakyat diberi keutamaan sebelum membubarkan Parlimen.

Beliau berkata, kerajaan ketika ini masih stabil dan semua pihak tidak perlu gusar terhadap tindakan penguatkuasaan yang diambil, khususnya mereka yang menjalankan amanah serta tidak terbabit sebarang salah laku. 

Namun beliau akan meneliti cadangan supaya PRU-16 diadakan lebih awal sebelum perkara itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. 

“Sekarang ini, fokus ekonomi, fokus kesejahteraan rakyat, dan fokus untuk membersihkan negara daripada amalan salah guna kuasa dan rasuah. Bagi saya, fokus ini yang penting. Kesepaduan keadaan yang ada sekarang, kerajaan itu masih stabil, kita tumpu yang ini,” katanya.

Sementara itu, Anwar berpandangan individu yang hanya dipanggil bagi membantu siasatan SPRM tidak perlu dipakaikan baju reman berwarna oren kerana ia boleh menimbulkan persepsi berbeza terhadap mereka.

Sebaliknya beliau berkata, individu yang hanya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa wajar disiasat terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan lain diputuskan.

“Kalau tanya untuk siasat, siasat dulu. Kalau ada kes untuk didakwa, itu saya serah kepada badan penguat kuasa tentang baju warna apa.

“Tapi setakat ini, saya hormati pandangan kerana ada orang yang rasanya bagi kerjasama dalam siasatan, tak perlulah dikenakan baju oren kerana akan beri persepsi yang berbeza,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×