Berapa banyak lagi keluarga perlu kehilangan orang tersayang sebelum kita benar-benar menganggap kemalangan membabitkan lori dan treler sebagai masalah keselamatan yang serius?
Setiap kali kemalangan maut berlaku, skripnya hampir sama. Gambar lori remuk, kereta kecil yang hancur dan keluarga mangsa yang menangis memenuhi media sosial. Kemudian bermulalah pesta menuding jari. Pemandu lori cuai, memandu laju, mengantuk, tidak kompeten dan macam-macam lagi.
Mungkin ada benarnya dalam sesetengah kes. Tetapi selepas kecoh reda, apa yang berubah?
Jalan raya kembali seperti biasa. Lori kembali memenuhi lebuh raya. Kereta kecil kembali berkongsi ruang yang sama dengan kenderaan yang beratnya berkali ganda. Dan kita pula kembali menunggu tragedi seterusnya.
Persoalannya, sampai bila? Kita tidak boleh terus menyelesaikan masalah keselamatan jalan raya dengan mencari seorang untuk dipersalahkan selepas nyawa melayang.
Kalau pemandu cuai, bagaimana dia boleh dibiarkan memandu dalam keadaan sedemikian?
Kalau kenderaan tidak selamat, mengapa ia masih berada di jalan raya? Kalau jadual penghantaran terlalu ketat hingga pemandu tidak cukup rehat, siapa yang menetapkan jadual itu?
Di sinilah tanggungjawab tidak boleh berhenti di bahu pemandu.
Syarikat pengangkutan perlu dipertanggungjawabkan terhadap budaya keselamatan mereka. Pemeriksaan kenderaan berat mesti benar-benar bermakna, bukan sekadar memenuhi prosedur.
Sistem brek, tayar, muatan, had kelajuan dan keadaan keseluruhan kenderaan perlu dipantau secara konsisten.
Teknologi juga tidak sepatutnya dianggap sebagai aksesori. Kamera dalam kenderaan, GPS, pengesan keletihan dan sistem amaran kelajuan boleh membantu mengesan risiko sebelum ia bertukar menjadi tragedi.
Dalam masa sama, penguatkuasaan perlu bersifat mencegah, bukan sekadar menghukum selepas berlaku kemalangan.
Kita juga perlu berani bertanya sama ada reka bentuk jalan raya, laluan kenderaan berat dan pengurusan trafik kita benar-benar mengambil kira risiko pertembungan antara kenderaan besar dan kecil.
Jangan salah faham. Ini bukan seruan untuk membenci pemandu lori. Mereka juga manusia yang bekerja mencari rezeki dan sebahagian besar mungkin menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.
Tetapi apabila sebuah lori seberat beberapa tan berkongsi jalan dengan kereta yang membawa sebuah keluarga, kesilapan kecil boleh membawa akibat yang tidak boleh diundur.
Jadi, jangan tunggu satu lagi kereta menjadi cebisan besi. Jangan tunggu satu lagi keluarga menerima berita paling buruk dalam hidup mereka.
Keselamatan jalan raya bukan soal siapa yang patut dipersalahkan selepas tragedi. Ia melibatkan siapa yang sanggup bertindak sebelum tragedi berlaku.
-Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.










