PRO-NET, TVETMARA jalin kerjasama perkasa bakat EV - Utusan Malaysia

PRO-NET, TVETMARA jalin kerjasama perkasa bakat EV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (PRO-NET) menjalin kerjasama strategik dengan TVETMARA menerusi Surat Hasrat (LOI) bagi memperkukuh latihan teknikal kenderaan elektrik (EV), pendedahan industri dan pembangunan bakat tempatan.

Kerjasama itu turut menyaksikan pengenalan e.MAS Electrified Excellence Competition, pertandingan sulung yang memberi peluang kepada juruteknik EV dan penasihat servis mempamerkan pengetahuan teknikal, kemahiran amali serta keupayaan pembentangan berkaitan teknologi EV.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan pembangunan tenaga mahir di Malaysia bergerak seiring dengan pertumbuhan pesat penggunaan EV.

“Apabila semakin ramai rakyat Malaysia beralih kepada kenderaan elektrik, kita juga perlu memastikan kita mempunyai tenaga kerja dengan kemahiran dan pengetahuan yang tepat untuk menyokong mereka.

“Bagi kami, usaha ini bukan sekadar memberi pendedahan kepada pelajar mengenai teknologi EV, tetapi turut memberi mereka peluang memperoleh pengalaman amali sebenar, membina keyakinan diri dan memahami keperluan sebenar industri.

“Kami mahu mereka bukan sahaja bersedia dari segi pengetahuan, malah yakin untuk melangkah ke alam pekerjaan,” katanya dalam kenyataan.

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan meneroka peluang untuk membangunkan dan mempertingkatkan program latihan teknikal khusus EV yang selaras dengan keperluan industri.

Kerjasama berkenaan dilaksanakan ketika Proton e.MAS terus mencatat pertumbuhan kukuh, dengan lebih 6,000 kenderaan e.MAS didaftarkan sehingga 31 Ogos 2026.

Seiring peningkatan jumlah EV di jalan raya Malaysia, pembangunan tenaga kerja selepas jualan yang berkemahiran dan berkeupayaan dilihat semakin penting bagi menyokong pelanggan serta mengekalkan standard kualiti perkhidmatan yang tinggi.

Beliau berkata, institusi TVET memainkan peranan penting dalam mempersiapkan generasi baharu tenaga mahir dalam bidang teknikal.

“Melalui kerjasama erat dengan TVETMARA, kita dapat membawa pengetahuan dan keperluan industri lebih dekat kepada pelajar, sekali gus memberikan mereka laluan lebih jelas daripada pembelajaran kepada kerjaya dalam industri EV.

“Pada akhirnya, kami mahu membantu membangunkan tenaga kerja selepas jualan EV yang lebih berkemahiran dan mampan untuk Malaysia,” katanya.

Kerjasama itu turut merangkumi peluang latihan amali, latihan sambil bekerja (OJT), latihan industri, program bakat perantis dan pendedahan teknikal, sekali gus membolehkan peserta membina kompetensi yang berkaitan secara langsung dengan operasi selepas jualan EV.

Dalam jangka panjang, inisiatif itu bertujuan menyokong peralihan lebih lancar daripada pendidikan TVET kepada latihan industri, seterusnya membuka laluan kepada peserta untuk menjadi juruteknik EV bertauliah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×