Setiap anak mempunyai ujian masing-masing dalam keluarga. Ada yang diuji dengan ibu bapa toksik dan pilih kasih.
Tidak kurang yang diuji apabila ibu bapa melihat anak-anak sebagai ‘mesin wang’ yang perlu mengeluarkan duit setiap bulan.
Pada awalnya, anak-anak memberi dengan ikhlas, namun menjadi sebaliknya apabila pemberian mula dianggap sebagai kewajipan.
Jumlah yang dahulu diberi dengan rela mula ditetapkan. Jika kurang dipersoal dan kalau tidak mampu, dibandingkan.
Tanpa disedari, seorang anak yang selama ini mahu berbakti mula hidup dalam tekanan.
Lebih berat apabila anak yang sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, tetapi ibu bapa masih mengharapkan pemberian dalam jumlah sama ketika masih bujang.
Minggu ini saya kongsikan kisah Reen (bukan nama sebenar) seorang menantu yang masuk dalam sebuah keluarga yang mana mentua menjadikan anak-anak sebagai ‘mesin wang’.
Reen tidak berniat mahu mengaibkan keluarga suami, tetapi lebih kepada pengajaran.
Ketika berkahwin dengan Hanif (bukan nama sebenar), dia tahu dia bukan hanya berkahwin dengan seorang lelaki, sebaliknya, sebuah keluarga. Ada mentua, adik-beradik ipar duai yang
mempunyai perbezaan latar belakang dan cara hidup.
“Saya menghormati ibu mentua seperti ibu sendiri. Kebetulan pula saya sudah kehilangan kasih seorang ibu sejak kecil.
“Sejak memasuki keluarga suami, saya tidak pernah mencampuri urusan antara ibu dan anak-anaknya,” ujarnya pada pertemuan baru-baru ini.
Kata Reen, di awal perkahwinan dia melihat sesuatu yang pada mulanya dianggap biasa.
Setiap bulan anak-anak memberikan sejumlah wang kepada ibu mereka.
Suaminya juga akan memberikan sebahagian gajinya kepada ibu.
“Saya tidak pernah bertanya kepada suami berapa jumlahnya. Bagi saya itu urusan suami dan tanggungjawab sebagai anak kepada ibu.
“Malah saya bangga melihat suami mengambil berat tentang ibunya walaupun pendapatan tidak sebanyak adik-beradik lain,” ujarnya.
Namun lama-kelamaan, selama lima tahun berkahwin, Reen mula nampak sesuatu.
Ibu mentua tidak sekadar menerima pemberian, sebaliknya mula menetapkan jumlah yang perlu diberikan.
Setiap anak perlu memberi RM500 hingga RM1,000 sebulan.
Sebelum berkahwin, suami memang tidak pernah berkira dengan ibunya, tambahan pula, gajinya hanya perlu digunakan untuk diri sendiri dan tidak banyak komitmen perlu difikirkan.
Setiap kali gaji, suami akan mengasingkan sejumlah wang untuk diberikan kepada ibunya. Kadang-kadang lebih daripada apa yang diminta.
Tetapi selepas memasuki alam perkahwinan, kehidupan berubah dan komitmen bertambah.
Di awal perkahwinan, Reen cuba memahami, namun sampai satu tahap selepas mempunyai dua anak, dia melihat suami semakin tertekan.
Suami mula memikirkan duit setiap kali menerima gaji.
Bukan lagi memikirkan keperluan isteri dan anak-anak, sebaliknya cukupkah untuk memberi kepada ibu.
“Jika jumlah tidak mencukupi, suami berasa dirinya gagal menjadi anak yang baik.
“Paling menyakitkan, apabila ibu mentua menuduh dan menganggap saya pula menjadi punca anak lelakinya tidak dapat memberi jumlah sama seperti sebelum berkahwin,” ujarnya.
Konflik semakin besar apabila ibu mentua mula membandingkan dengan anak-anaknya yang lain setiap kali suami memberi kurang daripada yang ditetapkan.
Setiap kali mendengar kata-kata ibu, Reen melihat wajah suami berubah. Kebiasaannya suami hanya tersenyum dan diam.
“Saya tahu suami terluka dengan kata-kata ibunya. Namun sebagai anak, suami tidak pernah meninggikan suara apa lagi melawan,” ujarnya.
Reen sentiasa menasihatkan suami agar memberi wang mengikut kemampuan, tetapi suami tetap cuba memenuhi permintaan ibu.
“Ada ketika suami terpaksa mengurangkan keperluan keluarga kecil kami semata-mata mahu memenuhi permintaan ibu,” ujarnya.
Dia tidak pernah menghalang suami memberi kepada ibunya, tetapi dia juga bertanggungjawab kepada rumah tangga mereka.
Dia tidak mahu melihat suami memaksa diri hanya untuk membuktikan kepada ibu yang dia juga mampu seperti adik-beradiknya.
Suami bekerja dan berusaha. Tetapi rezeki suami tidak sama seperti adik-beradik lain yang masing-masing bergaji besar, memiliki rumah dan kenderaan mewah.
Abang yang sulung pengetua sekolah menengah, kakak keduanya pegawai bank, manakala adik bongsunya jurutera syarikat swasta.
Pekerjaan suaminya hanya pengurus operasi di sebuah kilang. Kehidupan mereka sekadar cukup menanggung kehidupan sekeluarga.
Berdasarkan cerita suami, sejak pemergian bapa mereka, ibu banyak berkorban untuk membesarkan anak-anak.
Sebab itu, kata Reen, apabila dewasa, suami dan adik-beradik sepakat untuk membantu ibu mengikut kemampuan masing-masing.
“Dalam situasi yang berlaku, ibu mentua seolah-olah terlalu mementingkan keperluan sendiri sehingga sukar memahami masalah dan kemampuan anak-anak.
“Saya faham anak-anak memberi kerana mengenangkan pengorbanan ibu, memberi atas rasa tanggungjawab, tetapi apabila wang dijadikan ukuran kasih sayang, hati anak yang paling ikhlas sekalipun akan terluka,” ujarnya.
Kata Reen, sehinggalah pada suatu hari suaminya mula berubah, menjauh dan menetapkan batas.
Mereka tidak lagi kerap pulang ke rumah ibu seperti dahulu, bukan kerana tidak sayang, tetapi mahu menjaga hati dan perasaan masing-masing.
Mereka tetap akan membantu ibu, tetap memberi mengikut kemampuan.
“Ibu memang wajar dibantu dan anak-anak wajib berbakti, tetapi janganlah sampai seorang anak terpaksa mengorbankan rumah tangga dan keluarga kecil sendiri hanya kerana mahu memenuhi permintaan ibu yang berlebihan,” ujarnya.
Sebagai menantu, Reen sentiasa berdoa agar ibu mentuanya berubah.
Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kisah yang dikongsikan minggu ini.
Antaranya, kasih sayang tidak seharusnya diukur dengan wang ringgit. Seorang anak yang mampu memberi banyak bukan semestinya lebih menyayangi orang tuanya. Begitu juga anak yang memberi sedikit, bukan bermakna tidak peduli.
Sebagaimana firman Allah SWT: “Dan Kami perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan bersusah payah…” (Surah Luqman:14).










