Artis 'tua' buat konsert, kalau tidak minat tidak payah tengok - Edrie Hashim - Utusan Malaysia

Artis ‘tua’ buat konsert, kalau tidak minat tidak payah tengok – Edrie Hashim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dah tua, tak payah menyanyi.” Itu antara komen pedas yang sering dilemparkan kepada artis-artis lama, khususnya apabila mereka kembali mengadakan konsert atau masih aktif membuat persembahan di atas pentas.

Malah, ada juga yang menganggap kemunculan artis sama berulang kali di pentas konsert boleh membuatkan peminat jemu. Tidak kurang yang memperti­kai­kan kemampuan vokal beberapa artis legenda yang dikatakan sudah tidak lagi seperti ketika zaman kegemila­ngan mereka.

Bagai­mana­pun, komposer dan penerbit rakaman prolifik tanah air, Edrie Hashim, mempunyai pandangan tersendiri. Berikut adalah temu bual bersamanya.

Ada berpendapat artis lama tidak perlu lagi sibuk membuat konsert kerana sudah berusia, malah ada mendakwa vokal sebilangan mereka juga sudah terjejas. Apa pandangan Edrie?

Semua orang pun akan tua. Kau orang pun akan tua. Kalau saya sebagai peminat, contohnya, Ozzy Osbourne sudah tak boleh menyanyi sekalipun, kalau dia datang Malaysia, saya tetap pergi tengok sebab dia Ozzy Osbourne! Sebab sejak zaman saya sekolah, saya dengar dia. Itulah dia.Kalau awak tidak minat, jangan minat. Jangan tengoklah. Orang itu masih berkarya dan membuat persembahan untuk orang yang minat dia, bukan untuk awak yang tidak minat dia.

Apabila ada yang kata artis-artis seperti Wings, Datuk M. Nasir atau Exists terlalu kerap muncul dengan konsert, bagaimana Edrie melihat perkara itu?

Kalau kita bercakap mengenai muzik dunia era 1990-an, ramai yang masih menjadi legenda sampai hari ini. Guns N’ Roses, Metallica, Red Hot Chili Peppers, semuanya ada perjalanan dan perjuangan masing-masing. Di Malaysia pun sama. M. Nasir, Amy Search, Awie, Wings, Search dan ramai lagi bukan terus muncul sebagai legenda. Mereka melalui susah payah, bertahun-tahun membina nama dan perjuangan itulah yang akhirnya membuatkan orang menghormati mereka.
Kalau konsert mereka masih laku, itu menunjukkan ada peminat yang masih mahu melihat mereka. Konsert itu untuk peminat mereka, bukan untuk orang yang memang dari awal tidak suka.

Ada juga membandingkan kemampuan vokal artis lama sekarang dengan ketika mereka berada di puncak populariti dahulu. Komen?

Orang datang bukan semata-mata untuk mencari suara yang sama seperti 30 tahun dahulu. Kadang-kadang dia datang sebab itu artis zaman dia sekolah, zaman dia membesar.
Macam orang kata Guns N’ Roses sudah tidak boleh menyanyi. Tetapi peminat mereka tetap datang sebab itu adalah zaman mereka. Ada nostalgia, ada kenangan dan ada hubungan emosi dengan muzik itu. Bukan semua benda perlu kita nilai dengan cara yang sama. Kalau peminat masih mahu datang, masih mahu membeli tiket dan masih menikmati persembahan itu, apa masalahnya?

Kalau lihat ruangan komen di media sosial hari ini banyak dipenuhi kecaman. Kenapa agaknya?

Sekarang kebanyakan orang suka komen benda yang dia tidak suka. “Aku tak suka ini, aku tak suka dia, apa benda ini?” Kadang-kadang langsung tidak ada ilmu atau pengetahuan tentang artis tersebut. Mereka tidak faham apa yang menjadi daya tarikan artis itu kepada peminatnya.
Kalau suka, mungkin orang cuma taip, “Best, gempak, mantap.” Tapi kalau tak suka, macam-macam dia tulis. Rambut tak samalah, muka sudah tualah, suara tak seperti dululah. Bagi saya, kalau tak suka, jangan tengok. Buatlah benda lain. Tak perlulah kita sibuk membuang masa mengomen sesuatu yang kita sendiri tidak minat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×