Jaga hati ibu bapa atau suami?

Jaga hati ibu bapa atau suami?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOALAN:

Selepas berkahwin saya tinggal bersama ibu bapa kerana kekangan kewangan.Timbul konflik antara suami dengan ibu yang menyebabkan mereka tidak bercakap. Sebagai anak, saya takut dianggap anak derhaka dan risau suami berjauh hati dengan saya. Apa perlu saya lakukan?

-Yang keliru

 

JAWAPAN:
Konflik antara suami dan ibu boleh menyebabkan isteri berada dalam keadaan serba salah.

Namun, ada beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk mengurus keadaan ini dengan lebih bijaksana.

1. Jangan jadi hakim: Sebagai anak dan isteri, anda tidak perlu menentukan siapa yang benar atau salah. Dengarkan kedua-dua pihak dengan tenang dan elakkan menjadi penyampai kata-kata yang boleh memburukkan keadaan. Jangan membawa cerita daripada satu pihak kepada pihak lain kerana ia boleh menambahkan konflik.

2. Bezakan tanggungjawab sebagai anak, isteri: Anda tetap perlu menghormati dan menjaga ibu bapa. Dalam masa sama, sebagai isteri, anda perlu menjaga perasaan dan maruah suami. Menghormati ibu tidak bermaksud membenarkan semua tindakannya terhadap suami. Begitu juga, mempertahankan suami tidak bermaksud anda perlu memutuskan hubungan dengan ibu.

3. Berbincang dengan suami secara empat mata: Tanyakan kepada suami perkara yang membuatkannya terluka atau kecewa. Dengarkan tanpa terus mempertahankan ibu. Jelaskan yang anda tidak mahu konflik ini menjejaskan rumah tangga dan hubungan kekeluargaan. Bersama-sama cari jalan yang dapat menjaga perasaan suami tanpa mengabaikan ibu.

4. Bercakap dengan ibu secara berasingan: Pilih masa yang tenang untuk berbincang dengan ibu. Gunakan bahasa lembut dan elakkan menyalahkan mana-mana pihak. Jelaskan anda menyayangi ibu, tetapi dalam masa sama memerlukan ruang untuk membina kehidupan bersama suami. Berikan ibu masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan selepas anda berkahwin.

5. Wujudkan batas sihat: Jika konflik berpunca daripada tinggal bersama, tetapkan batas yang jelas. Berikan ruang privasi kepada suami isteri dan elakkan campur tangan dalam urusan rumah tangga. Jika keadaan kewangan mengizinkan, tinggal berasingan mungkin menjadi pilihan yang lebih baik untuk mengurangkan konflik tanpa memutuskan hubungan dengan ibu bapa.

6. Jangan paksa mereka berdamai segera: Hubungan yang terluka memerlukan masa untuk pulih. Jangan memaksa suami dan ibu untuk terus berbaik atau melupakan perkara yang berlaku. Jika konflik berpanjangan, pertimbangkan bantuan orang tengah yang matang, ahli keluarga dipercayai atau kaunselor.

Kadangkala, memberi ruang dan mewujudkan batas yang sihat adalah langkah terbaik untuk menjaga hubungan.

Tinggal berasingan juga bukan bermaksud memutuskan hubungan, sebaliknya boleh menjadi usaha untuk menyelamatkan keharmonian keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×